Puak pemberontak luaskan pergerakan di bandar Aleppo, serangan udara sasar kedudukan mereka

Bernama
November 30, 2024 04:47 MYT
Pejuang pemberontak Syria berkawal di Kafr Halab dekat pedalaman Aleppo. (Foto AP)
DAMSYIK: Kumpulan bersenjata Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dilaporkan meluaskan pergerakan mereka di beberapa batang jalan dan kawasan kejiranan di Bandar Aleppo, utara Syria, pada Sabtu, sehari selepas kumpulan militan itu menyerang beberapa bahagian di bandar itu, menurut laporan media tempatan dan aktivis pembangkang.
Kebanyakan penduduk dilaporkan berkurung di rumah, manakala sekolah dan institusi kerajaan hampir sepenuhnya ditutup, menurut agensi berita Xinhua yang memetik radio pro-kerajaan Sham FM.
Pada Jumaat, HTS dan kumpulan pemberontak bersekutu menyerbu beberapa bahagian di Bandar Aleppo buat kali pertama sejak mereka diusir keluar pada 2016.
Ketegangan ini memuncak selepas HTS melancarkan serangan besar-besaran di kawasan barat pedalaman Aleppo pada Rabu, menurut laporan itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, sebuah badan pemantau perang berpangkalan di Britain berkata HTS telah menguasai separuh dari bandar itu.
Pemerhati itu juga melaporkan pesawat tempur melancarkan serangan udara awal pagi Sabtu di Daerah al-Furqan berhampiran kawasan Aleppo Baharu di bahagian barat bandar berkenaan.
Serangan udara dan pertempuran kecil dengan pasukan kerajaan dilaporkan mengorbankan 20 pejuang HTS.
Video yang muncul pada Jumaat malam menunjukkan pejuang HTS membebaskan banduan daripada penjara kerajaan.
Pejuang lain pula merakam diri mereka meraikan penguasaan ke atas kubu bersejarah Aleppo dan beberapa mercu tanda utama bandar itu.
Gabenor Aleppo, ketua polis, dan pegawai keselamatan dilaporkan telah berundur dari pusat bandar, menurut pemerhati berkenaan.
Peningkatan mendadak keganasan ini mencetuskan semula ketegangan di Aleppo, sebuah bandar yang telah bertahun-tahun mengalami kehancuran akibat konflik berpanjangan di Syria.
Pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan terkini, kecuali kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Syria yang menyebut bahawa tentera sedang menghadapi pertempuran hebat dengan HTS dan kumpulan bersenjata bersekutu.
-- BERNAMA
#Hayat Tahrir al-Sham #Syria #Aleppo #penduduk berkurung
;