PRU15 selesai, ini jangkaan pilihan raya pada 2023
Hasimi Muhamad
Januari 1, 2023 14:30 MYT
Januari 1, 2023 14:30 MYT
TAHUN 2022 menyaksikan pelbagai cabaran perlu dilalui oleh kebanyakan negara di seluruh dunia, dengan topik paling menjadi tumpuan adalah berkaitan inflasi.
Tidak kurang juga isu berkaitan kemiskinan; sekuriti makanan; pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, serta kebimbangan tentang pandemik COVID-19.
Tetapi perkara yang tidak boleh dielakkan dan turut terpalit dengan Malaysia adalah berkaitan ketidakstabilan politik, sehingga membawa kepada pilihan raya umum perlu diadakan.
Menurut TheGlobalEconomy.com, purata indeks kestabilan politik pada tahun 2021 bagi 194 negara ialah -0.07 mata, dengan indikasi 2.5 sebagai kuat manakala -2.5 sebagai paling lemah.
Liechtenstein, sebuah negara yang terletak di Eropah Barat menduduki ranking pertama dengan 1.64 mata diikuti Andorra (1.64 mata); manakala negara jiran Malaysia iaitu Singapura berada di kedudukan ketiga dengan 1.49 mata.
Pada 2022, pemimpin-pemimpin haluan kanan dari pelbagai negara berjaya memenangi pelbagai pilihan raya.
Di Sweden misalnya, parti Demokrat Sweden menjadi bahagian penting dalam pakatan yang memerintah negara itu, selepas memenangi majoriti 176 daripada 349 kerusi Parlimen, diikuti blok kiri dengan 173 kerusi.
Sementara di Itali, Giorgia Meloni mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara itu bersama pasukan kabinetnya, dibarisi pemimpin sayap kanan paling ramai sejak Perang Dunia Kedua.
Begitu juga Israel, blok sayap kanan bekas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memenangi pilihan raya umum dengan memperoleh 120 kerusi di Parlimen.
Namun demikian, di Amerika Syarikat (AS), Parti Demokrat Joe Biden (berhaluan kiri) dijangka mengekalkan kawalan Senat pada pilihan raya pertengahan penggal,
Kebiasaannya pilihan raya pertengahan penggal akan menolak parti yang berkuasa.
Berikut beberapa pilihan raya yang dijangka berlangsung di beberapa negara pada 2023:
1. Thailand
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menetapkan tarikh bagi pilihan raya umum di negara ini pada 7 Mei 2023.
Kesemua calon yang berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut boleh menghantar penyertaan dari 3 hingga 7 April 2023.
2. Myanmar
Pilihan raya umum dijangka diadakan antara 1 Februari dan 1 Ogos.
Ia akan menjadi pilihan raya pertama selepas rampasan kuasa tentera 2021.
Sejak rampasan kuasa, tentera telah memerintah negara itu di bawah keadaan darurat, dan ditetapkan oleh Pemangku Presiden Myint Swe untuk tempoh maksimum selama dua tahun mengikut Perlembagaan.
3. Kemboja
Pilihan raya umum akan diadakan pada 23 Julai untuk memilih ahli Dewan Negara.
Kemboja mengadakan pilihan raya umum lima tahun sekali, dengan Parti Rakyat Kemboja (CPP) kini memegang semua kerusi di Parlimen.
Pilihan raya pada 29 Julai 2018 menyaksikan CPP memenangi kesemua 125 kerusi dewan perundangan.
4. Turkiye
Pilihan raya Presiden dijadualkan berlangsung di Turkiye pada 18 Jun 2023, sebagai sebahagian daripada pilihan raya umum 2023.
Pengundi akan memilih Presiden baharu untuk tempoh lima tahun.
5. Nigeria
Pilihan raya di negara paling ramai penduduk di Afrika itu dijadualkan pada 25 Februari, di sebalik keadaan keselamatan yang tidak menentu.
Pejabat Ruruhanjaya Pilihan Raya Nigeria berdepan beberapa siri serangan keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Muhammadu Buhari, yang mengetuai parti All Progressives Congress (APC) berhaluan tengah, tidak akan bertanding susulan had penggal menghalangnya daripada bertanding semula.
Bagaimanapun, APC telah mengemukakan bekas gabenor Lagos, Asiwaju Ahmed Tinubu untuk menggantikan Buhari.
6. Pakistan
Pakistan menghadapi krisis politik dan iklim yang besar pada 2022.
Banjir besar pada Ogos menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu, menyebabkan lebih 33 juta orang kehilangan tempat tinggal dan membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang.
Pada April 2022, pembangkang Pakistan menggulingkan Perdana Menteri, Imran Khan menerusi undi tidak percaya.
7. Argentina
Argentina yang mempunyai 45.81 juta populasi setakat 2021 dijadual memilih Presiden baharu pada 29 Oktober depan.
Selain itu, pemilihan akan turut melibatkan ahli Kongres Kebangsaan dan Gabenor di kebanyakan wilayah.
Presiden Argentina, Alberto Fernandez dengan gabungan kiri tengah Frente de Todos, mengesahkan akan bertanding untuk pemilihan semula.
8. Bangladesh
Kerajaan semasa Bangladesh telah berkuasa sejak 2009.
Pada 11 Disember lalu, pembangkang mengadakan perhimpunan di Dhaka, menuntut kerajaan meletak jawatan dan pilihan raya baharu diadakan, menurut jurucakap Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Zahir Uddin Swapan.
9. Negara-negara lain
Di AS, terdapat pilihan raya di Antigua dan Barbados pada Januari, Paraguay (April), serta Guatemala pada Jun.
Di Afrika pula, undian dijangka di Guinea-Bissau dan Sierra Leone pada Jun, Zimbabwe pada Julai atau Ogos, Liberia pada Oktober, Madagascar pada akhir 2023, manakala Republik Demokratik Congo pada Disember.
Malaysia akan turut menyaksikan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan enam negeri.
Ia membabitkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pas - Kelantan, Terengganu dan Kedah; manakala tiga lagi di bawah Pakatan Harapan (PH) - Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.