PRU Thailand: Pengundi Selatan Thai teruja, Move Forward, Pheu Thai dijangka tarik pengundi muda
Shafizan Johari
Mac 23, 2023 15:35 MYT
Mac 23, 2023 15:35 MYT
PARTI pembangkang utama Thailand, Parti Move Forward dan Parti Pheu Thai yang memperoleh kerusi majoriti dalam pemilihan Majlis Metropolitan Bangkok pada Mei lalu, dijangka meraih undi daripada golongan muda di Selatan Thai, susulan polisi mereka yang lebih mesra dengan aspirasi golongan berkenaan.
Menurut Presiden Yayasan Polisi, Strategi Sosial, Pembangunan Ekonomi Thailand, Dr Asae Sayaka, kebanyakan pengundi muda memberi tumpuan kepada Parti Move Forward, yang mana dasar mereka lebih menyentuh hati golongan itu, seperti cadangan reformasi badan ketenteraan termasuk pemansuhan kerahan tentera, serta usaha untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan pemuda.
“Tinjauan pendapat dalam kalangan penuntut universiti juga menunjukkan golongan muda turut memberi perhatian kepada parti Pheu Thai yang bakal menampilkan anak bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, Paethongtha Shinawatra yang hanya berusia 36 tahun,” tambahnya.
Begitupun, muka lama dijangka berupaya mengekalkan dominasi mereka dengan parti dominan di Yala, Narathiwat dan Pattani, Parti Prachachat (Parti Ummah) pimpinan Wan Muhammad Noor Matha dijangka meneruskan naratif kempen yang membawa isu berkaitan agama dan etnik untuk mendapatkan sokongan pengundi.
“Pengundi berusia lebih cenderung untuk menyokong Parti Ummah yang akan membawa isu Islam ke dalam kempen mereka. Bagaimanapun parti berkenaan tidak mempunyai dasar yang kukuh untuk menangani isu sebenar seperti kebimbangan ekonomi dan sosial, termasuk gerakan pemisah," katanya.
Pada masa sama, parti Ruamthai Sangchart yang disokong Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dijangka membuat kemunculan di tiga wilayah majoriti Melayu berkenaan dan bakal mendapat sokongan terutama dalam kalangan penjawat awam.
Selain itu, isu sosial serta identiti dijangka kekal menjadi antara tumpuan kempen selain isu-isu seperti berkaitan hak tanah, kesaksamaan, peluang pendidikan tinggi, kemiskinan dan peluang pekerjaan.
Yala, Narathiwat dan Pattani mewakili 13 daripada 500 kerusi kerusi yang bakal dipertandingkan dalam pilihan raya kelak.
Thailand mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin di mana pilihan raya dijangka diadakan pada 14 Mei.