PRU Thailand: Lebih 4,000 rakyat Thailand di Malaysia bakal mengundi dalam pengundian awal
Bernama
Mei 3, 2023 20:57 MYT
Mei 3, 2023 20:57 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,656 rakyat Thailand yang berdaftar sebagai pengundi luar negara dan menetap di Malaysia dijangka mengundi dalam pengundian awal menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand yang dijadual pada 14 Mei.
Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral di Pulau Pinang dan Kota Bharu menetapkan tempoh pengundian selama tujuh hari bermula 28 April hingga esok, bagi membolehkan rakyat Thailand menunaikan tanggungjawab mereka mengundi di lokasi yang ditetapkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Sarawak atau Johor.
Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, berkata daripada jumlah itu, seramai 3,668 pengundi telah berdaftar dengan Kedutaan Diraja Thailand dan daripada jumlah itu seramai 2,992 mengundi di kedutaan itu, bermula hari ini hingga esok, dari 9 pagi hingga 6 petang.
"Sehingga pukul 1.30 petang, peratusan keluar mengundi sebanyak 17 peratus atau kira-kira 500 pengundi... walaupun hari bekerja tetapi peratusan keluar mengundi dilihat memberangsangkan...
"Esok Hari Wesak, cuti umum di Malaysia, jadi kami menjangkakan lebih ramai lagi pengundi akan hadir dan kami berharap dapat mencapai 100 peratus peratusan keluar mengundi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedutaan, hari ini.
Bagi konsulat di Pulau Pinang, duta itu berkata pengundian diadakan pada 29 hingga 30 April, dengan 592 warga Thailand atau 86 peratus daripada jumlah 688 pengundi berdaftar telah menunaikan kewajipan mereka.
Sementara itu, proses pengundian di konsulat di Kota Bharu diadakan pada 30 April lalu menyaksikan 241 (80.3 peratus) daripada 300 pengundi berdaftar telahpun mengundi.
Beliau menambah, dua unit bergerak turut digerakkan untuk pengundi di Kuching, Sarawak pada 28 April dan Johor Bahru pada 1 Mei, masing-masing mencatatkan 100 peratus dan 50.5 peratus keluar mengundi.
"Kami menggalakkan mereka yang mendaftar, walaupun dengan sistem unit mudah alih, jika mereka belum mengundi, mereka boleh datang ke kedutaan hari ini dan esok," katanya.
Lada berkata pihak kedutaan dijadualkan menghantar kertas undi dan dokumen berkaitan ke Thailand pada 7 Mei, sebelum tarikh akhir ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand iaitu pada 12 Mei.
Beliau berkata terdapat kira-kira 100,000 warga Thailand menetap di Malaysia dan sebahagian mereka mungkin pulang ke tanah air untuk mengundi, terutamanya yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Sementara itu, pengundi kali pertama, Sirin Choomanee, 22, dari Songkhla amat teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya.
"Saya harap perdana menteri yang akan dipilih melalui pilihan raya ini dapat membangunkan negara saya," kata penuntut Universiti Malaya itu kepada Bernama.
Arfan Sama Arlee, 34, yang sudah menetap di sini selama enam tahun, memuji pihak kedutaan kerana menambah baik proses pengundian yang hanya mengambil masa lima minit untuk mengundi.
"Berbanding pilihan raya lepas (pada 2019), kali ini proses pengundian yang dibuat pihak kedutaan sangat baik," katanya.
Sementara itu, Murni Hawae, 29, berharap untuk melihat Thailand yang lebih baik pada masa hadapan.
"Saya menyifatkan pilihan raya ini sebagai hak kita untuk memilih wakil negara dan juga di kawasan saya Pattani," katanya yang sudah dua kali mengundi sejak menetap di Malaysia lebih 10 tahun lalu.
-- BERNAMA