PRU Singapura: Tempoh kempen berjalan lancar
Bernama
Julai 5, 2020 16:40 MYT
Julai 5, 2020 16:40 MYT
Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura serta 10 parti pembangkang telah memanfaatkan semua platform yang dibenarkan dalam situasi pandemik COVID-19 untuk kempen masing-masing sebelum hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Jumaat ini.
Kempen telah berjalan lancar sejak hari penamaan calon pada 30 Jun dengan semua calon mematuhi langkah-langkah ketat pengurusan keselamatan COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ketika melaksanakan kunjungan dan lawatan kempen dari pintu ke pintu .
Selain interaksi secara fizikal, parti politik dan calon dilihat memanfaatkan platform media sosial untuk mendekati kira-kira 2.6 juta pengundi yang layak.
Selain itu, parti politik dan calon mengoptimumkan tahap mereka dengan baik untuk memikat pengundi kerana mereka diberi siaran televisyen di peringkat kebangsaan, menerusi Siaran Politik Parti dan Kawasan.
Sejak Pilihan Raya Umum 1980, parti politik yang menempatkan sekurang-kurangnya enam calon di bawah simbol parti yang diiktiraf adalah layak untuk siaran udara secara percuma menerusi radio dan televisyen.
Pada waktu ini, Party Political Broadcasts (PPB) yang pertama ke udara menerusi 19 TV dan rangkaian radio pada 2 Julai dan satu lagi dijangka pada 9 Julai, sehari sebelum hari mengundi.
Sementara itu, Constituency Political Broadcasts (CPB), adalah pengaturan one-off yang khas untuk pilihan raya pada masa kini, memandangkan keadaan COVID-19, yang akan bermula pada 3 Julai menerusi rangkaian Mediacorp, dan akan diteruskan sehingga 8 Julai iaitu sehari sebelum hari 'cooling-off'.
Selain PPB dan CPB, Mediacorp telah menyiarkan dua siaran langsung perdebatan Pilihanraya Umum 2020 dalam bahasa Inggeris dan Mandarin pada 1 Julai.
Empat parti politik yang menghantar jumlah calon yang paling ramai - Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) - dijemput untuk perdebatan itu.
Pemerintahan sementara juga menyediakan tempat di Suntec Singapore Convention Centre untuk perhimpunan pada waktu tertentu sepanjang hari semasa tempoh kempen sebagai alternatif kepada perhimpunan fizikal ketika COVID-19.
Mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan untuk penduduk tempatan semasa COVID-19 adalah antara tumpuan utama yang dibangkitkan semasa perdebatan itu.
PAP yang memegang majoriti kerusi dalam Parlimen sejak 1966, tidak bergantung kepada kejayaannya dan memandang serius setiap pilihan raya.
Meskipun terdapat pandangan oleh sebuah parti pembangkang bahawa PAP akan menyapu bersih semua 93 kerusi yang dipertaruhkan, ia tidak pernah memandang ringan.
Setiausaha agung PAP, Lee Hsien Loong berkata, pilihan raya itu akan menyaksikan satu "pertarungan hebat" kerana orang ramai terjejas akibat COVID-19.
-- BERNAMA
#calon
#keselamatan
#koronavirus
#Lee Hsien Loong
#Media
#pandemik
#Parlimen
#pembangkang
#perhimpunan
#pilihan raya
#politik
#rakyat
#Singapura