PRU Singapura: Golongan muda tolak kerajaan - Dr Johan Saravanamuttu
Umavathi Ramayah
Julai 11, 2020 16:29 MYT
Julai 11, 2020 16:29 MYT
Parti Pekerja yang merupakan satu-satunya parti pembangkang yang memenangi kerusi di Parlimen Singapura dalam Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU-18) dilihat sebagai party of the future kerana berjaya 'menawan' pengundi muda.
Felo Kanan Adjung, Nanyang Technological University, Singapura, Profesor Emeritus Dr Johan Saravanamuttu Abdullah berkata, keputusan PRU-18 negara jiran itu yang diadakan pada Jumaat jelas menyaksikan corak peratusan pengundian parti pembangkang meningkat kepada 40 peratus berbanding 30 peratus pada PRU yang lalu.
"Ini bermakna hampir separuh, iaitu kira-kira 40 peratus daripada rakyat Singapura menolak kerajaan Singapura dengan memilih parti-parti pembangkang dan golongan paling besar yang memilih parti-parti pembangkang adalah pengundi muda.
"Ini adalah angin baharu dalam landskap politik Singapura apabila sokongan pengundi muda semakin beralih kepada pembangkang," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Dengan perkembangan yang sama, Johan Saravanamuttu berpendapat, keputusan pilihan raya itu membawa harapan besar kepada parti-parti pembangkang terutamanya Parti Pekerja yang dipimpin oleh Pritam Singh dan golongan muda.
Parti Pekerja mempertahankan enam kerusi di kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied lima anggota dan kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) Hougang serta menang kerusi baharu di GRC Sengkang empat anggota.
Sementara itu, beliau berkata, antara isu yang ditimbulkan oleh parti pembangkang ketika pra pilihan raya adalah mengenai pekerja profesional warga asing di bahagian pengurusan, eksekutif dan teknikal yang mewakili sebahagian besar pekerja di negara itu.
Katanya, pekerja dari India menjadi penyumbang terbesar sektor pekerjaan profesional diikuti Malaysia, Filipina dan Indonesia.
"Saya berpendapat selepas ini, People's Action Party (PAP) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Long berkemungkinan besar akan mengkaji semula dasar terhadap pekerja asing di negara itu," ujarnya.
PAP kekal berkuasa dalam pilihan raya umum Singapura pada Jumaat dengan memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Parti itu memperoleh 61.24 peratus undi popular, membuatkan Setiausaha Agungnya, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri sementara, menyifatkan kemenangan itu sebagai mandat yang jelas.
#Nanyang Technological University
#Parti Pekerja
#Parti Tindakan Rakyat
#PRU
#Singapura
#warga asing