PRU: Prachachat sasar menang bergaya di Selatan Thailand, terbuka tubuh kerajaan dengan Pheu Thai
Shafizan Johari
April 12, 2023 13:18 MYT
April 12, 2023 13:18 MYT
PARTI utama Selatan Thailand, Parti Prachachat bersedia untuk menyertai parti pembangkang utama, Pheu Thai jika berjaya memperoleh sokongan majoriti pada pilihan raya umum Thailand, 14 Mei nanti.
Presiden Parti Prachachat Wan Muhamad Noor Matha malah yakin, calon daripada parti itu boleh menganggotai Kabinet, jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan kelak.
Jelasnya, pertimbangan untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti dibuat berdasarkan sasaran bersama untuk mengubah kerajaan.
Ia juga seiring dengan hasrat bersama untuk memperkasakan demokrasi dan memajukan ekonomi terutamanya di wilayah-wilayah Selatan Thailand, katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau menjangkakan kerjasama akan tetap bersama Pheu Thai, Wan Muhamad Noor, berkata: "Kita berjanji tetapi semua itu kena tengok sokongan rakyat apabila mengundi 14 Mei nanti, siapa boleh banyak mana (undi).
"Tinjauan awal menunjukkan pilihan raya kali ini... parti Pheu Thai akan menang besar di seluruh negara dan Parti Prachachat akan menang besar di Selatan Thai," katanya.
Wan Muhamad Noor juga yakin, partinya boleh memperoleh sekurang-kurangnya 20 kerusi pada kali ini, berbanding hanya tujuh kerusi pada pilihan raya lalu.
Kerjasama antara Parti Prachachat dan Pheu Thai sudah boleh dijangka berdasarkan kerjasama lampau Wan Muhamad Noor dengan Thaksin Shinawatra, di mana bekas perdana menteri itu pernah melantik beliau sebagai menteri Kabinet semasa pentadbirannya.
Selain Yala, Pattani dan Narathiwat, Prachachat juga meletakkan calon di wilayah Songkhla, Satun dan Nakorn Si Tammarat.
“Sokongan rakyat meningkat antara dua hingga tiga kali ganda lebih baik, berdasarkan kepada kerja kuat wakil rakyat kami untuk selesaikan masalah rakyat sejak empat tahun lalu. Kita juga terlibat untuk memberikan keadilan dan menyokong undang-undang yang bermanfaat untuk rakyat,” katanya.
Penganalisis sebelum ini menyatakan bahawa parti pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 300 kerusi di Parlimen untuk mengubah kedudukan kerajaan.
Prachachat juga akan terus menyokong rundingan damai yang Malaysia menjadi fasilitator usaha berkenaan.
“Saya percaya rundingan damai akan dilesaikan dengan lebih cepat jika Prachachat berada dalam kerajaan. Kerana kita adalah orang tempatan, dan setiausaha agung parti (Tawee Sodsong) pernah terlibat dalam rundingan," katanya.