PRU Pakistan 2024: Badan pilihan raya tolak kertas pencalonan Imran Khan

Bernama
Disember 31, 2023 14:58 MYT
Khan (foto) telah menyerahkan borang untuk bertanding dalam pilihan raya 8 Feb dari tiga kawasan pilihan raya di Lahore, Mianwali dan Islamabad. -Gambar fail/Reuters
ISLAMABAD: Pihak berkuasa pilihan raya di Pakistan pada Sabtu menolak kertas pencalonan bekas Perdana Menteri Imran Khan untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Khan telah menyerahkan borang untuk bertanding dalam pilihan raya 8 Feb dari tiga kawasan pilihan raya di Lahore, Mianwali dan Islamabad.
Seorang pemimpin parti, Khurram Sher Zaman berkata kertas pencalonan bekas bintang kriket berusia 71 tahun dari Lahore dan Mianwali telah ditolak, lapor Agensi Anadolu.
PTI berkata hampir 90 peratus daripada kertas pencalonan pemimpin tertinggi termasuk Khan ditolak.
Parti itu menuduh jentera kerajaan digunakan untuk memudahkan pesaing termasuk bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, yang kembali selepas hidup dalam buangan selama empat tahun pada Oktober.
Mengutuk langkah itu, pengerusi parti Gauhar Khan berkata "jentera kerajaan sedang dikerah sepenuhnya menentang calon PTI," dan beliau meminta pekerja parti dan penyokong untuk tidak putus asa.
Sementara itu, pasukan peguam PTI akan mencabar keputusan pihak berkuasa pilihan raya di mahkamah.
Kedua-dua bekas perdana menteri Pakistan itu menyerahkan kertas pencalonan mereka, walaupun telah hilang kelayakan daripada bertanding dalam pilihan raya.
Borang pencalonan Sharif bagaimanapun diterima.Khan dipenjarakan pada Ogos dalam kes rasuah dengan pemimpin itu dituduh menjual hadiah milik kerajaan secara tidak sah.-- BERNAMA
#Imran Khan #Pakistan #pilihan raya umum #tolak kertas pencalonan
;