PRU Filipina: 10 maut dalam serangan kumpulan bersenjata

Agensi
Mei 9, 2016 15:11 MYT
Dalam serangan hendap yang berlaku pada awal pagi itu, tujuh orang ditembak mati di bandar Rosario. - Foto AFP/Ted AljibeE
Sekurang-kurangnya 10 individu dilaporkan maut di Filipina dalam insiden serangan dari sekumpulan bersenjata ketika pilihan raya negara itu pada Isnin.
Kumpulan tersebut bertindak menyerang pusat pengundian, memusnahkan kenderaan dan mencuri mesin mengira undi, kata Ketua Inspektor Jonathan del Rosario, jurucakap polis pilihan raya, kepada AFP.
Bagaimanapun pihak berkuasa menyifatkan kejadian tersebut sebagai insiden terpencil dan secara keseluruhan pilihan raya berjalan dengan aman apabila 10 juta rakyat keluar mengundi bagi memilih jawatan presiden dan 18,000 bagi jawatan lain.
BACA: Rakyat Filipina keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat dan Presiden
Dalam serangan hendap yang berlaku pada awal pagi itu, tujuh orang ditembak mati di bandar Rosario.
Manakala di Guindulungan, sebuah bandar miskin di wilayah selatan Filipina yang sedang bergolak, seorang pengundi telah ditembak mati di salah sebuah tempat mengundi.
Seorang pemerhati undi juga terbunuh apabila sebiji bom tangan telah dilancarkan di sebuah pasar di Cotabato.
Di bandar berhampiran Sultan Kudarat, iaitu letaknya kubu kuat kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu, 20 lelaki merempuh masuk ke pusat mengundi dan melarikan mesin mengundi.
Di wilayah utara Abra, penyokong calon politik menembak antara satu sama lain menyebabkan seorang terbunuh dan dua cedera, kata jurucakap polis Marcy Grace Marron kepada AFP.
Polis menahan dua lelaki dan dua wanita bersenjata selepas pertempuran di bandar pergunungan Lagayan, 350 kilometer dari utara Manila, kata Marron.
Namun, Pesuruhjaya pilihan raya Rowena Guanzon berkata keganasan itu tidak akan memberi kesan kepada keputusan, menyatakan mereka telah bersiapsiaga dengan kawalan keselamatan di kawasan panas.
Lima belas orang disahkan terbunuh dalam keganasan pra-pilihan raya sejak awal tahun ini, menurut pasukan petugas.
#10 maut #Guindulungan #pilihan raya Filipina