Prototaip komputer Apple-1 milik Steve Jobs dilelong hampir AS$700,000

Agensi
Ogos 20, 2022 12:38 MYT
Seorang pengumpul barangan yang tidak mahu namanya didedahkan telah memenangi lelongan tersebut pada Khamis, dengan bidaan AS$677,196. - AP
SEBUAH prototaip komputer Apple-1 yang disahkan ketulenannya dari pertengahan tahun 1970-an telah dilelong pada nilai hampir AS$700,000.
Prototaip itu telah digunakan oleh pengasas bersama Apple, Steve Jobs pada tahun 1976 untuk menunjukkan demonstrasi Apple-1 kepada Paul Terrel, iaitu pemilik The Byte Shop di Mountain View, California.
Menurut kenyataan rumah lelongan RR Auction yang berpangkalan di Boston, The Byte Shop pada ketika itu merupakan salah satu daripada kedai jualan komputer peribadi pertama di dunia.
Seorang pengumpul barangan dari Bay Area yang tidak mahu namanya didedahkan telah memenangi lelongan tersebut pada Khamis, dengan nilai bidaan AS$677,196.
“Apple-1 tidak akan wujud tanpa papan litar ini... ia adalah barang penting bagi Steve Jobs dan memorabilia Apple," ujar Naib Presiden Eksekutif RR Auction, Bobby Livingston.
Papan litar itu telah dipadankan dengan gambar polaroid yang diambil Terrel pada tahun 1976, menunjukkan prototaip itu sedang digunakan. Ketulenannya juga telah dinilai oleh pakar Apple-1, Corey Cohen, yang turut mengesahkan laporan 13 halaman untuk mengiringi jualan itu.
#Steve Jobs #komputer lama #apple-1 #prototaip
;