Prototaip kereta pelbagai guna tanpa pemandu kawal keselamatan di Busan
Rahimah Abdullah
November 23, 2019 11:54 MYT
November 23, 2019 11:54 MYT
Korea Selatan bukan sahaja terkenal dengan lokasi menariknya, tetapi juga dengan perkembangan teknologinya.
Bersempena dengan Persidangan Peringatan ASEAN-ROK 2019 di Busan, prototaip kereta pelbagai guna tanpa pemandu yang dinamakan HR-Sherpa, digunakan untuk mengawal aspek keselamatan sepanjang acara berlangsung.
Ia mampu menjadi sebahagian bantuan keselamatan kepada pihak berkuasa yang mengawal keadaan sepanjang persidangan.
HR-Sherpa ditempatkan di luar bangunan BEXCO, lokasi acara berkenaan.
Ia dibina hasil penyelidikan dan pembangunan dari syarikat Hyundai Rotem.
Menurut Jurutera Penyelidik Kanan Hyundai Rotem, GunKook Kim, inovasi kenderaan prototaip ini dibangunkan sejak tahun lalu dan akan mula diguna pakai buat pertama kali pada persidangan ini.
“Jadi kamu boleh lihat demonstrasi dan kami juga bercadang untuk meningkatkan fungsinya dan autonomous driving.
“Kenderaan ini boleh mengesan sebarang aktiviti kegasan seperti bahan kimia, letupan,” katanya semasa ditemui ketika melakukan demonstrasi di luar BEXCO, di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, fungsi kenderaan ini dihadkan hanya untuk persidangan ini sahaja untuk masa ini.
Kenderaan prototaip ini dilengkapi kawalan jauh,kelengkapan sistem pengesanan tembakan dan letupan.
Dengan berat 2,000 kilogram, HR-Sherpa mampu bergerak sehingga 30 kilometer.
Persidangan Peringatan ASEAN-ROK 2019 bermula 25 hingga 26 November ini.
#BEXCO
#Dr Mahathir
#HR-Sherpa
#Hyundai Rotem
#kereta perisai
#Korea Selatan
#letupan
#Perdana Menteri
#Persidangan Peringatan ASEAN-ROK 2019
#tembakan