Protokol istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II
Astro Awani
September 19, 2022 13:04 MYT
September 19, 2022 13:04 MYT
LONDON: Selepas 10 hari kemangkatan Ratu Elizabeth II, jasad mendiang akan memulakan 'perjalanan terakhir' hari ini.
Upacara keagamaan akan diadakan di hadapan ribuan tetamu di Westminster Abbey iaitu gereja bersejarah yang pernah menabalkan Raja dan Ratu Britain, sebelum dibawa ke Istana Windsor.
Istana Windsor merupakan salah sebuah istana kota yang terletak di Berkshire, England dan di bawah pemilikan kerabat diraja British.
Berikut jadual pemakaman mendiang Ratu Elizabeth II
6.30 pagi: (1.30 tengah hari waktu Malaysia)
Penghormatan terakhir dihentikan bagi memberi laluan kepada upacara keagamaan di Westminster.
8 pagi (3 petang waktu Malaysia)
Pintu Westminster Hall akan dibuka. Kira-kira 2,000 tetamu termasuk pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan mula mengambil tempat duduk.
10.35 pagi (5.35 petang waktu Malaysia)
Keranda Ratu Elizabeth diangkat dari catafalque, sebuah struktur pemakaman di Westminster Hall untuk dibawa menaiki gerabak yang menunggu di pintu utara Dewan Westminster.
10.45 pagi (5.45 petang waktu Malaysia)
Jasad mendiang akan dibawa dengan gerabak senjata sebagai sebahagian daripada perarakan tentera besar ke Dewan Westminster.
10.52 pagi (5.52 petang waktu Malaysia)
Gerabak senjata tiba di West Gate di Westminster Abbey dan Raja Charles III akan mengetuai perarakan mengiringi keranda mendiang.
11.00 pagi (6 petang waktu Malaysia)
Perarakan Pemakaman Negara bermula.
11.55 pagi (6.55 petang waktu Malaysia)
Di penghujung penghormatan terakhir itu, tiupan nafiri Last Post akan berkumandang sebelum seluruh negara bertafakur selama dua minit.
12 tengah hari (7 malam waktu Malaysia)
Lagu God Save the King (Tuhan Selamatkanlah Raja) akan dimainkan disusuli dengan irama muzik sedih.
12.15 tengah hari (7.15 malam waktu Malaysia)
Gerabak senjata yang menempatkan keranda mendiang akan ditarik ke arah Wellington Arch di Hyde Park Corner berhampiran Istana Buckingham.
Kemudian diiringi Raja Charles, kerabat diraja dan perarakan masuk oleh detasmen angkatan bersenjata kontinjen Komanwel dari 56 negara yang dianggotai ratu.
Loceng besar Big Ben menara jam di Istana Westminster diselang seli dengan das tembakan dilepaskan tanda pada setiap satu minit.
1 petang (8 malam waktu Malaysia)
Keranda yang tiba di Wellington Arch, akan dipindahkan ke kenderaan diraja, bertolak ke Istana Windsor, barat London.
3.06 petang (10.06 malam waktu Malaysia)
Kenderaan diraja tiba di Windsor dan menuju ke istana melalui laluan Long Walk ke istana.
3.40 petang (10.40 malam waktu Malaysia)
Raja dan kerabat diraja menyertai perarakan dari Quadrangle di Istana Windsor sebelum rombongan berhenti di Gereja Kecil St George pada pukul 3.53 petang.
4 petang (11 malam waktu Malaysia)
Penstriman siaran langsung kehadiran kerabat diraja dan wakil-wakil pemimpin negara.
Selepas kira-kira 45 minit, keranda akan diturunkan ke bilik kebal diraja sambil Sovereign's Piper memainkan lagu.
7.30 malam (2.30 pagi Selasa, waktu Malaysia)
Ratu Elizabeth II akan disemadikan di King George VI Memorial Chapel yang juga tempat persemadian bonda serta ayahanda mendiang Ratu.
Sementara itu, keranda mendiang Putera Philip yang telah melayari bahtera perkahwinan selama 73 tahun dengan Ratu Elizabeth II sebelum meninggal dunia pada April 2021, dijangka dipindahkan dari Makam Diraja di Windsor untuk disemadikan bersebelahan mendiang Ratu.
* Ikuti siaran langsung istiadat pengebumian Ratu Elizabeth II di saluran 501 AWANI bermula pukul 5.30 petang ini.