Protes Thailand: Siapa pilihan Berlin... pro demokasi atau pro monarki?

Saraya Mia
Oktober 26, 2020 07:00 MYT
Demonstrasi di kedutaan dilakukan bagi menghantar petisyen kepada kerajaan Jerman supaya menyiasat Raja Maha Vajiralongkorn. -AP
BANGKOK: Usaha penunjuk perasaan di Bangkok memperjuangkan demokrasi diteruskan apabila mereka berarak ke konsulat Jerman di Jalan Sathorn, malam Isnin bagi meminta Berlin menyiasat status kedudukan Raja Thailand di Jerman.
Demonstrasi di luar kedutaan dilakukan bagi menghantar petisyen kepada kerajaan Jerman supaya siasatan dilakukan terhadap Raja Maha Vajiralongkorn bagi mengetahui sama ada pemerintahannya dari tanah Jerman mencabar kedaulatan negara itu.
Konsulat Jerman mengeluarkan kenyataan pada Isnin bahawa mereka bersedia menerima mesej itu dan akan menyampaikan kepada Berlin hanya jika penyaluran dilakukan secara aman.
Sebelum ini, cadangan untuk menyerahkan mesej kontroversi itu sudah diumumkan kumpulan anti monarki dalam satu kenyataan melalui Facebook United Front of Thammasat University and Demonstration, awal Isnin.
Terdahulu, penyokong monarki telah berkumpul di kedutaan Jerman demi mempertahankan institusi monarki dan kerajaan perdana menteri Prayut Chan-o-cha.
Mereka menyerahkan surat kepada Duta Jerman di Thailand menekankan kebimbangan melibatkan Jerman dalam konflik yang sudah lama berlarutan di Thailand.
Surat itu mendakwa pergerakan menentang kerajaan dilakukan semata-mata sebagai propaganda politik demi kepentingan pihak tertentu.
Ia turut mendakwa dalang di belakang ribuan penunjuk perasaan telah mencampur aduk kepercayaan politik dengan tipu helah dan berjaya menyampaikan mesej itu kepada generasi belia melalui kecanggihan teknologi dan media sosial.
Pada Isnin, Parlimen Thailand dibuka untuk sesi khas bagi membincangkan gerakan pro demokrasi yang semakin meningkat dengan menuntut peletakan jawatan Prayut dan pembaharuan kepada sistem monarki.
#Penunjuk perasaan #Maha Vajiralongkorn #Thailand #Bangkok #Jalan Sathorn #United Front of Thammasat University and Demonstration #Prayut Chan-O-Cha
;