Protes Thailand: Polis sedia guna undang-undang lese majeste
Saraya Mia
November 19, 2020 21:37 MYT
November 19, 2020 21:37 MYT
BANGKOK: Polis Thailand tidak teragak-agak untuk menggunakan undang-undang ‘lese majeste’ atau derhaka terhadap penunjuk perasaan jika diperlukan, kata Timbalan Ketua Biro Polis Metropolitan (MPB), Piya Tawichai, pada Khamis.
Beliau berkata demikian berikutan amaran Perdana Menteri (PM) Prayut Chan-o-cha untuk membolehkan kerajaan menggunakan kesemua peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan yang bertindak melampau.
Tambah Piya, walaupun kenyataan bekas pemimpin junta itu belum diteliti, namun jika lese majeste diperlukan, pihaknya akan menggunakan undang-undang itu.
Prayut pada Khamis memberi amaran akan mengambil tindakan menggunakan undang-undang negara, namun tidak menyebut secara spesifik mengenai Akta 112, Lese Majeste.
Undang-undang yang wujud sejak 1900-an di Thailand itu menetapkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi sesiapa yang menghina, memfitnah atau mengugut raja, permaisuri dan kaum kerabatnya.
Kenyataan Prayut dikeluarkan susulan demonstrasi besar-besaran di ibu pejabat polis di Bangkok pada Rabu.
Penunjuk perasaan menyembur cat pada dinding pejabat polis bagi membalas serangan meriam air dan gas pemedih mata yang mencederakan puluhan rakan mereka.