Protes Thailand: Isu tuntutan penunjuk perasaan dibangkitkan dalam sidang Parlimen
Agensi
November 17, 2020 19:52 MYT
November 17, 2020 19:52 MYT
BANGKOK: Protes di Thailand yang dilihat tidak berkesudahan kini mendapat perhatian penggubal undang-undang selepas salah satu tuntutan oleh penunjuk perasaan anti-kerajaan dibangkitkan dalam sidang Parlimen pada Selasa.
Salah satu tuntutan yang dibangkitkan adalah perubahan pada Perlembagaan.
Tujuh draf pindaan perlembagaan dijadualkan untuk melalui proses undian dalam sesi bersama selama dua hari oleh ahli Dewan dan Senat.
Ini kerana berdasarkan perlembagaan negara itu, sebarang perubahan pada perlembagaan perlu dicapai bersama oleh kedua-dua badan tersebut.
Apa jua pindaan yang dibentangkang perlu melalui bacaan kedua dan ketiga sekurang-kurangnya sebulan selepas proses undian dijalankan.
Bagaimanapun, sidang Parlimen dijangka tidak akan meluluskan pindaan perlembagaan walaupun sesi tunjuk perasaan masih berlangsung tanpa henti terutamanya oleh penunjuk perasaan anti-kerajaan.
Sebaliknya, sidang Parlimen dijangka akan menubuhkan sebuah jawatankuasa penggubalan perlembagaan bagi melaksanakan rang undang-undang baharu.
Dengan usaha ini, ia membolehkan kerajaan melaksanakan sebahagian tuntutan penunjuk perasaan sambil melambatkan proses pelaksanaan itu yang dijangka akan mengambil berbulan lamanya.