Protes terbesar Myanmar sejak Revolusi Safron

Agensi
Februari 7, 2021 17:34 MYT
Mendapat inspirasi daripada gerakan pro-demokrasi di Thailand, peserta protes di serata negara turut menggunakan simbol hormat tiga jari sebagai isyarat tunjuk perasaan. - Reuters
YANGON: Protes terbesar di Myanmar sejak demonstrasi ‘Revolusi Safron’ tahun 2007 memasuki hari kedua.
Mendapat inspirasi daripada gerakan pro-demokrasi di Thailand, peserta protes di serata negara itu turut menggunakan simbol hormat tiga jari sebagai isyarat tunjuk perasaan.
Di Yangon, puluhan ribu penunjuk perasaan turun ke jalanan untuk membantah rampasan kuasa junta tentera dan penahanan Aung San Suu Kyi, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Susulan itu, junta tentera menyekat akses kepada beberapa platform media sosial termasuk Facebook, Twitter, dan Instagram, serta akses internet di beberapa kawasan.
Beberapa pengguna platform media sosial bagaimanapun melaporkan bahawa akses telah dikembalikan mulai hari ini.
Selain di bandar-bandar utama, beberapa kumpulan aktivis Rohingya di kem pelarian turut menunjukkan solidariti kepada gerakan anti-tentera berkenaan.
Hampir 300 ahli Parlimen yang dilantik daripada NLD sepatutnya memulakan sidang Parlimen pada Isnin lalu, sebelum junta tentera mengambil alih dan melaksanakan darurat selama setahun.
NLD dalam satu kenyataan menuntut supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta seluruh masyarakat global mengiktiraf mereka sebagai pemegang kuasa di Myanmar.
Mereka juga menggesa supaya sektor swasta memutuskan segala hubungan dagangan bersama pihak tentera.
#Aung San Suu Kyi #Myanmar #Rohingya #protes #PBB #Yangon #rampasan kuasa #tentera #NLD #Liga Demokrasi Kebangsaan #demokrasi
;