Protes sambutan Hari Kekasih ketara di sesetengah negara Asia

Agensi
Februari 14, 2017 09:14 MYT
Aktivis Parti Bharatiya Janata (BJP) Mahila Morcha membakar pakaian melambangkan Hari Valentine dalam satu protes di Hyderabad,
Mahkamah Pakistan telah melarang sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih secara terbuka di Islamabad sementara pelajar-pelajar di Indonesia mengadakan tunjuk perasaan supaya orang ramai memboikot sambutan tersebut.
Perkembangan tersebut adalah antara contoh penolakan budaya berkenaan di sesetengah negara di Asia, lapor AFP.
Mereka yang mencari teman untuk hubungan romantis di Australia, Malaysia dan Singapura juga diberi peringatan tentang peningkatan kes penipuan dalam program mencari jodoh dalam talian.
Di Jepun pula, sekumpulan penunjuk perasaan agresif berarak sejak beberapa hari lalu mendesak supaya aksi berkucupan di tempat awam dilarang sama sekali.
Haramkan sambutan
Isnin lalu, perintah daripada Mahkamah Tinggi Islamabad dilihat sebagai satu usaha terkini pihak berkuasa di negara Islam itu untuk mengharamkan sambutan yang disifatkan sebagai tidak sopan ataupun budaya Barat yang tidak perlu diikuti.
Sambutan 14 Februari itu dilihat semakin popular dalam kalangan anak-anak muda Pakistan, yang antara lain meraikannya dengan memberikan hadiah, kad ucapan dan coklat kepada orang yang mereka anggap sebagai kekasih.
Perintah mahkamah itu dibuat berikutan desakan petisyen yang menyatakan bahawa sambutan itu menyelindung perkara lanjutan yang boleh terjadi iaitu ‘pelanggaran moral, kelakuan tidak sopan dan kelucahan yang bertentangan dengan nilai-nilai tradisi’.
Larangan yang turut disokong parti-parti Islam itu juga menggesa media massa agar tidak mempromosi Hari Kekasih.
Demonstrasi jalanan
Di Indonesia, sekumpulan pelajar sekolah di Surabaya mengadakan bantahan sambutan Hari Kekasih kerana ia dikatakan menggalakkan hubungan seks.
“Katakan tidak pada Hari Valentine!” Laung pelajar-pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu, termasuk mereka yang bertudung.
“Protes ini dilakukan kerana kita melihat Hari Kekasih sering dikaitkan dengan hubungan seks bebas. Itu yang kami bimbang,” kata penganjur protes, Pandu Satria.
Beberapa bandar lain di Indonesia turut mengharamkan sambutannya.
Di Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengingatkan golongan muda agar tidak terikut-ikut dengan budaya tersebut dengan menegaskan tentang aspek pembaziran wang dan usia, dosa menyerupai kelaziman sesuatu kaum lain yang menyimpang dari akidah, dan menggalakkan cinta sebelum nikah serta menggalakkan zina.
Penjelasan panjang tentang perkara itu turut dimuatkan dalam laman web rasmi Pembina.
Hentikan kapitalisme cinta
Beberapa hari lalu di Jepun, sebuah kumpulan pelik yang dikenali sebagai ‘Kakuhido’, atau Revolusi Perikatan Lelaki dan Wanita Tidak Menarik, juga mendesak agar perbuatan menunjukkan keintiman di tempat umum dihentikan kerana ia menyakiti hati mereka.
“Matlamat kami adalah untuk membanteras kapitalisme cinta. Orang seperti kami yang tidak mencari nilai dalam cinta sedang ditindas oleh masyarakat.
“Ia adalah konspirasi oleh orang yang menyangka bahawa individu yang berpenampilan kurang menarik berasa rendah diri dan tidak bermakna – contohnya berpelukan di tempat awam membuatkan kami rasa terhina. Itu tidak boleh dimaafkan,” ujar ketua perhubungan awam kumpula itu, Takayuki Akimoto.
Pihak berkuasa di Malaysia, Australia dan Singapura telah mengeluarkan amaran tentang peningkatan kes penipuan dalam talian melibatkan individu yang mengharapkan perhubungan.
Selain menjejaskan emosi, penipuan itu juga menyebabkan kerugian wang dan harta benda.
Mengikut statistik Suruhanjaya Persaingan dan Konsumer Australia (ACCC) , penipuan dalam talian yang melibatkan harapan membina perhubungan menyebabkan kerugian wang yang lebih besar berbanding jenis penipuan lain.
Kebanyakan mangsa yang terjerat adalah dalam lingkungan usia 45 tahun ke atas.
“Manipulasi dan penipuan yang dieksploit dalam hubungan romantis semakin meningkat. Jika anda sedang mencari ‘kekasih’ sempena Hari Valentine, adalah penting agar anda mampu mengenal pasti tanda-tandanya,” ujar Timbalan Pengerusi ACCC Delia Rickard dalam satu kenyataan.
#Hari Kekasih #Hari Valentine #protes #tunjuk perasaan Asia
;