Protes pro-Palestin di Israel sempena 76 tahun Nakba
Azib Zikry
Mei 15, 2024 09:00 MYT
Mei 15, 2024 09:00 MYT
DILILIT keffiyeh sambil mengibarkan bendera Palestin, ribuan rakyat Palestin di Israel berarak berhampiran bandar Haifa pada Selasa untuk memperingati Nakba, peristiwa malapetaka rampasan besar-besaran terhadap Palestin dalam perang 1948.
Kira-kira 3,000 orang berarak di sepanjang laluan berhampiran lebuh raya utama - dalam apa yang digelar sebagai ‘return march’, yang telah diadakan setiap tahun sejak 27 tahun lalu.
Tahun ini, ia merupakan demonstrasi pro-Palestin yang jarang berlaku di Israel di tengah-tengah perang Gaza, selepas polis menghalang beberapa cubaan bantahan sebelum ini.
Kira-kira 700,000 rakyat Palestin telah diusir atau meninggalkan rumah mereka semasa perang 1948.
Fidaa Shehadeh, Penyelaras Gabungan Wanita menentang senjata dan bekas Ahli Majlis Perbandaran Lydd berkata keluarganya telah dipindahkan secara paksa dari Majdal Masqalan, dengan beberapa yang lain melarikan diri ke bandar Lydd yang kini menjadi sebahagian Israel serta ada yang melarikan diri ke Gaza.
Dia menganggap dirinya seorang pelarian di tanah sendiri.
76 tahun selepas Nakba, dia berkata, status pelarian yang dimilikinya, kekal sebagai pelarian.
Shehadeh berkata, bapa saudara dan ibu saudaranya di Gaza, yang kali terakhir dia dapat melawat pada 2008 dengan kelulusan Israel, kini dipindahkan semula kerana mereka berulang kali cuba melarikan diri dari serangan Israel.
Mereka tidak tahu sama ada dapat pulang ke rumah mereka atau tidak, katanya.
Menurutnya, dia pergi ke Tebing Barat yang diduduki Israel hampir setiap minggu untuk menambah nilai talian telefon bimbit untuk saudara maranya di Gaza supaya mereka boleh terus berhubung.
Orang Arab di Israel membentuk kira-kira satu perlima daripada penduduk negara itu.
Setiap tahun, peserta perarakan, antaranya keturunan Palestin yang kehilangan tempat tinggal semasa perang 1948, akan melawat beberapa lokasi berbeza yang telah musnah dek kekejaman oleh rejim zionis.
Badil, sebuah organisasi yang berpangkalan di Bethlehem yang memperjuangkan hak pelarian, menganggarkan menjelang akhir tahun 2021 bahawa 65 peratus daripada 14 juta rakyat Palestin di dunia adalah orang yang dipindahkan secara paksa, termasuk pelarian yang kini menjadi warganegara Israel.
Kira-kira 5.9 orang berdaftar dengan agensi bantuan dan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA).