Protes PM baharu, ratusan serbu masuk bangunan Parlimen Iraq

Astro Awani
Julai 28, 2022 00:20 MYT
Ratusan penunjuk perasan menceroboh masuk ke bangunan Parlimen di Baghdad, Iraq, 27 Julai 2022. (Foto AP)
RATUSAN penyokong setia kepada ulama terkemuka Muqtada al-Sadr, menceroboh masuk ke Zon Hijau di Baghdad, yang menempatkan bangunan Parlimen Iraq, sebagai bantahan terhadap pencalonan Perdana Menteri baharu.
Protes pada Rabu itu tercetus selepas Mohammed Shiya al-Sudani rasmi dicalonkan untuk memimpin negara itu pada Isnin, oleh Coordination Framework, pakatan Syiah terbesar di Parlimen Iraq.
Kumpulan penunjuk perasaan itu bagaimanapun beredar dari zon itu tidak lama selepas Muqtada memaklumkan kepada mereka bahawa mesej mereka telah diterima.
Keupayaan al-Sadr untuk menggerakkan dan mengawal pengikut akar umbinya memberikannya pengaruh yang kuat ke atas pesaing politiknya.
Beliau pernah mengarahkan pengikutnya menyerbu Zon Hijau pada 2016 dan memasuki bangunan Parlimen negara itu untuk menuntut pembaharuan politik.
Siri terbaharu protes itu dibuat selepas peletakan jawatan besar-besaran blok Parlimen al-Sadr pada Jun.
Ia selepas lebih 70 penggubal undang-undang keluar daripada kerajaan berikutan kebuntuan politik yang berlarutan sejak 10 bulan lalu.
Iraq bergelut untuk membentuk kerajaan baharu sejak pilihan raya Parlimen pada Oktober.
#Mohammed Shiya al-Sudani #Penunjuk perasaan #Parlimen Iraq #Muqtada al-Sadr