Protes: Petani Belgium sekat lebuh raya berdekatan sempadan Jerman
Bernama
Disember 5, 2024 06:45 MYT
Disember 5, 2024 06:45 MYT
BRUSSELS: Sekumpulan petani Belgium menyekat beberapa jalan utama berhampiran sempadan Jerman dengan traktor mereka sebagai protes terhadap perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah (EU) yang dicadangkan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Lebuhraya E40 adalah antara jalan yang ditutup, menurut laporan polis persekutuan Belgium di laman sesawang maklumat trafik mereka pada Khamis.
Penyiar Jerman WDR melaporkan bahawa lebuh raya A44 telah disekat pada waktu malam di persimpangan Eupen.
Hampir 50 traktor dan dinding yang diperbuat daripada jerami telah diletakkan di atas jalan raya. Para petani berhasrat untuk kekal di situ sepanjang hari.
Para petani berang dengan pembentukan kawasan perdagangan bebas yang besar antara EU dan gabungan negara Amerika Selatan, Mercosur.
Selepas bertahun-tahun rundingan yang sukar, perbincangan hampir selesai.
Pengkritik bimbang bahawa petani Eropah akan terpaksa bersaing dalam perang harga yang sengit, di samping menyumbang kepada kemusnahan hutan hujan di Amerika Selatan.
Suruhanjaya Eropah, bagaimanapun, menegaskan bahawa perjanjian itu dapat menjimatkan syarikat EU kira-kira EUR4 bilion (AS$4.2 bilion) setahun dalam duti kastam dan meningkatkan eksport.
Ia tidak percaya perjanjian itu akan menjejaskan mata pencarian petani Eropah.
-- BERNAMA