Protes Pakistan berakhir di meja bulat

Astro Awani
Januari 18, 2013 08:16 MYT
Protes terhadap kerajaan Pakistan yang dipimpin oleh ulama Tahir-Ul-Qadri akhirnya berakhir apabila rundingan berjaya mencapai persetujuan.
Rundingan itu berlangsung selama beberapa jam di dalam kontena kalis peluru di Islamabad melibatkan Tahir dan wakil kerajaan.
Antara yang dipersetujui kerajaan adalah pembubaran parlimen lebih awal sebelum mandatnya berakhir pada pertengahan Mac ini.
Dengan itu, ia memberi masa 90 hari kepada ahli politik untuk bertanding pilihan raya parlimen.
Selain itu, kerajaan bersetuju pentadbiran kerajaan sementara dilantik menerusi rundingan melibatkan semua parti politik.
Deklarasi hasil rundingan itu kemudian ditandatangani oleh Perdana Menteri Raja Pervez Ashraf.
Menerusi persetujuan itu, protes selama empat hari yang melumpuhkan Islamabad berjaya ditamatkan.
Tahir berjaya meraih sokongan rakyat Pakistan dengan membangkitkan masalah yang gagal diselesaikan kerajaan seperti kekurangan bekalan elektrik, kadar pengangguran tinggi dan ancaman serangan militan.
Beliau juga menuduh gejala rasuah kini menular di kalangan ahli politik yang memegang kuasa.
#Pakistan #protes #Ulama Tahir-Ul-Qadri
;