Protes merebak di India selepas kes rogol, bunuh doktor

Astro Awani
Ogos 18, 2024 06:45 MYT
Sebagai solidariti dengan doktor, beribu-ribu orang berarak di jalan-jalan di Kolkata pada petang Ahad sambil melaungkan "Kami mahukan keadilan". - Foto AP
KOLKATA: Beberapa doktor muda India bertindak mogok dengan tidak bekerja pada Ahad kerana menuntut keadilan segera bagi rakan sekerja mereka yang dirogol dan dibunuh.
Doktor di seluruh India telah mengadakan bantahan, perarakan cahaya lilin dan enggan merawat pesakit bukan kecemasan pada minggu lalu selepas pembunuhan pelajar pascasiswazah perubatan berusia 31 tahun pada awal pagi 9 Ogos di Kolkata.
Sebagai solidariti dengan doktor, beribu-ribu orang berarak di jalan-jalan di Kolkata pada petang Ahad sambil melaungkan "Kami mahukan keadilan".
Pihak berkuasa di negeri Bengal barat pula berusaha untuk membendung demonstrasi menentang jenayah ngeri itu daripada bertukar ganas.
Aktivis wanita berkata kejadian di kolej dan Hospital Perubatan RG Kar itu telah menyerlahkan bagaimana wanita di India terus menderita walaupun undang-undang lebih ketat selepas kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan pelajar berusia 23 tahun dalam bas yang sedang bergerak di Delhi pada 2012.
India memperkenalkan perubahan besar kepada sistem keadilan jenayah, termasuk hukuman yang lebih berat selepas serangan 2012.
Bagaimanapun penunjuk perasaan berkata, hanya sedikit sahaja yang telah berubah dan tidak cukup untuk menghalang keganasan terhadap wanita.
Persatuan Perubatan India mendesak Perdana Menteri Narendra Modi dengan menyatakan 60 peratus doktor India adalah wanita dan beliau perlu campur tangan untuk memastikan kakitangan hospital dilindungi dengan protokol keselamatan yang sama seperti di lapangan terbang.
#protes #Doktor #bunuh #Keadilan
;