Protes memuncak di Iran susulan kematian wanita ditahan kerana hijab
Astro Awani
September 19, 2022 09:20 MYT
September 19, 2022 09:20 MYT
TEHRAN: Protes berlanjutan di Iran susulan kematian seorang wanita dalam tahanan atas kesalahan tidak memakai hijab dengan sempurna.
Peserta menggunakan jalanan sebagai medan menyuarakan rasa tidak puas hati selain mengerakkan kempen sama melalui media sosial.
Amini, 22, meninggal dunia pada Jumaat selepas koma susulan penahanannya di Tehran awal minggu lalu.
Kes itu telah memberikan tumpuan kepada hak wanita di Iran.
Polis Iran bagaimanapun menolak dakwaan yang disiarkan di media sosial bahawa Amini telah dipukul dan menyatakan wanita itu jatuh sakit.
Bapa kepada Amini pula menafikan dakwaan anak perempuannya itu sakit kerana tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.
Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar Universiti Tehran sambil melaungkan slogan berkaitan hak wanita.
Di bawah undang-undang syariah Iran, wanita diwajibkan menutup seluruh rambut dan memakai pakaian panjang dan longgar.
Jika ingkar, pesalah akan berdepan teguran awam, denda atau tangkapan.
Menjelang petang Ahad, #mahsaamini telah mencapai 1.63 juta sebutan di Twitter.