Protes AS: Lakukan kekerasan terhadap pelajar, dua anggota polis dipecat

Agensi
Jun 1, 2020 16:04 MYT
Dua anggota polis dipecat dan tiga lagi ditukar jabatan selepas didakwa melakukan kekerasan terhadap dua pelajar kolej semasa protes di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.
Dua anggota polis dipecat dan tiga lagi ditukar jabatan selepas didakwa melakukan kekerasan terhadap dua pelajar kolej semasa protes di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.
Menurut Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms, keputusan itu dibuat bersama Ketua Polis, Erika Shields selepas meneliti rakaman kamera badan dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu.
Rakaman video itu menunjukkan sekumpulan pegawai polis mengepung kereta dua pelajar berkenaan yang turut tular di media sosial dan media tempatan.
Pegawai polis dilihat menggunakan pistol pegun untuk memaksa pelajar berkenaan keluar daripada kenderaan mereka.
Polis itu juga terpaksa menggari mereka susulan kekecohan yang berlaku.
Media tempatan turut melaporkan polis sebelum itu didakwa memecahkan cermin dan memancitkan tayar kereta mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua pelajar berkenaan dibebaskan dan kes mereka digugurkan selepas itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Atlanta, Erika Shields meminta maaf susulan kejadian dan bertegas kekerasan yang dilakukan anggota terlibat tidak dapat diterima.
Pada Ahad, Polis Atlanta telah menahan lebih 150 penunjuk perasaan yang melakukan protes dengan melontar batu ke arah pegawai polis yang bertugas mengawal keselamatan.
Protes berkenaan mula merebak sejak Jumaat dan menyaksikan penunjuk perasaan melakukan kerosakan awam dan premis perniagaan.
#Amerika Syarikat #kereta #keselamatan #Media #media sosial #pelajar #polis #protes #video
;