Protes Iran: Angka korban meningkat, sembilan kematian dicatatkan

Agensi
September 22, 2022 11:52 MYT
Protes kini menular ke lebih 20 bandar utama termasuk ibu negara, Tehran. - Foto REUTERS
TEHRAN: Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan maut dalam tunjuk perasaan anti kerajaan bagi membantah kematian tahanan Kurdish, Mahsa Amini.
Mahsa, wanita berusia 22 tahun meninggal dunia di hospital Iran, sehari selepas ditahan pihak polis berhubung kesalahan tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung mencetuskan kemarahan rakyat Iran.
Memetik laporan BBC, antara yang dilaporkan maut ialah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditembak mati apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Protes kini menular ke lebih 20 bandar utama termasuk ibu negara, Tehran.
Antara video tunjuk perasaan yang disebarkan di media sosial adalah paparan beberapa wanita menanggalkan tudung mereka sebelum membakarnya.
"Katakan tidak untuk tudung, tidak untuk serban, ya untuk kebebasan dan kesaksamaan!" luah seorang penunjuk perasaan di Tehran.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu rakyat Amerika agar berdiri di belakang wanita berani di Iran yang memperjuangkan hak asasi mereka.
Terdahulu, beberapa kumpulan aktivis hak asasi manusia menggesa wanita untuk menanggalkan hijab mereka secara terbuka, satu isyarat yang membawa risiko ditangkap kerana melanggar kod pakaian Islam, ketika pemerintah negara itu bertindak keras terhadap apa yang disifatkan "tingkah laku tidak bermoral".
#Iran #Mahsa Amani #Protes Iran #tudung
;