Protes Hijab: Ratusan wanita kecam larangan pakai tudung di India

Astro Awani
Februari 13, 2022 06:35 MYT
Ratusan wanita berhijab melaungkan slogan mengecam larangan bertudung di institusi pendidikan India. - Foto AP
KARACHI: Ratusan wanita berhijab mengadakan protes di Karachi, Pakistan menentang larangan memakai tudung di beberapa institusi pendidikan di selatan India terhadap pelajar Islam.
Sambil membawa sepanduk bertulisan kecaman terhadap larangan itu, mereka melaungkan slogan menentang kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi di India dan mengecam "penindasan terhadap umat Islam".
Salah seorang peserta protes, Nazia Khaleel berkata, India menggelar dirinya sekular dan liberal tetapi hak asasi manusia dicabuli di negara itu, terutamanya terhadap orang Islam.
Menurutnya, adalah menjadi hak kepada wanita Islam untuk memakai tudung dan ia tidak boleh dihalang dalam masyarakat liberal.
Tindakan itu, jelasnya telah menarik balik hak wanita Islam.
Isu itu menjadi tajuk utama bulan lalu apabila sebuah sekolah yang dikendalikan kerajaan di daerah Udupi, Karnataka melarang pelajar yang memakai tudung daripada memasuki bilik darjah, sekaligus mencetuskan protes di luar pintu pagar sekolah.
Lebih banyak sekolah di negeri itu menguatkuasakan larangan yang sama sehingga memaksa Mahkamah Tinggi negeri itu campur tangan.
Di India yang majoriti beragama Hindu, umat Islam membentuk kira-kira 14 peratus daripada hampir 1.4 bilion penduduk negara itu.
Tudung tradisional Muslim tidak diharamkan atau dihadkan di tempat awam dan merupakan pemandangan yang biasa.
#wanita #protes #tudung #institusi pendidikan
;