Protes George Floyd: Lagi tugu tokoh imperialis dialihkan di UK
Astro Awani
Jun 10, 2020 11:13 MYT
Jun 10, 2020 11:13 MYT
SATU lagi tugu peringatan kepada pemilik hamba abdi kurun ke-18 dialihkan di United Kingdom (UK).
Kali ini, tugu Robert Milligan dialihkan dari perkarangan Muzium Pelabuhan di London dengan disambut sorakan penyokong pejuang anti perkauman pada Selasa.
Ia dialihkan oleh pihak pengurusan Muzium Pelabuhan London.
Milligan semasa hayatnya memiliki dua ladang tebu dan 526 hamba abdi dari Jamaica.
Keputusan ini dibuat selepas satu tugu memperingati pedagang hamba abdi, Edward Colston, ditumbangkan di Bristol oleh penunjuk perasaan.
Datuk Bandar London Sadiq Khan mengumumkan akan mengalihkan lebih banyak tugu memperingati tokoh imperialis di bandar berkenaan.
Ini selepas protes anti perkauman merebak ke UK yang menuntut perubahan.
Sementara itu, di Oxford, protes anti-perkauman sejak kematian George Floyd di Minneapolis, Amerika Syarikat terus diadakan.
Tunjuk perasaan berlangsung dengan aman sambil mematuhi penjarakan sosial.
Mereka menggesa supaya tugu peringatan kepada tokoh imperialis, Cecil Rhodes, turut dialihkan sepertimana yang berlaku di Bristol.
Beberapa pakar bagaimanapun berpandangan, bahawa tindakan itu mungkin menghapuskan sebahagian daripada sejarah negara itu, meskipun ia merupakan sejarah gelap.
#anti-perkauman
#Bristol
#Cecil Rhodes
#diskriminasi
#Edward Colston
#George Floyd
#hamba abdi
#London
#Muzium Pelabuhan
#Oxford
#penjarakan sosial
#perkauman
#protes
#Robert Milligan
#Sadiq Khan
#tokoh imperialis
#tugu
#tunjuk perasaan
#United Kingdom