Protes di universiti AS tidak tunjuk tanda perlahan
Astro Awani
April 29, 2024 10:40 MYT
April 29, 2024 10:40 MYT
LOS ANGELES: Protes di Universiti Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan tanda akan reda pada hujung minggu dengan lebih banyak tangkapan di kampus dan pertempuran singkat antara penunjuk perasaan pro-Israel dan pro-Palestin di UCLA, California.
Penunjuk perasaan yang menentang pencerobohan Israel ke Gaza menuntut gencatan senjata dan pelupusan aset universiti dalam syarikat yang terlibat dengan tentera Israel serta menamatkan bantuan ketenteraan AS kepada Zionis.
Apabila saiz perkhemahan di Universiti California di Los Angeles berkembang sejak kebelakangan ini, penunjuk perasaan balas menjadi semakin lantang dan kelihatan di kampus, walaupun kedua-dua pihak kekal aman sehingga Ahad.
Situasi bertukar tegang sekitar tengah hari apabila ahli dua kumpulan penunjuk perasaan bertelagah hingga melibatkan pergaduhan fizikal.
Naib canselor UCLA komunikasi strategik UCLA, Mary Osako memaklumkan situasi mula huru-hara apabila beberapa penunjuk perasaan melepasi penghalang yang dibina di kampus.
Demonstrasi itu melibatkan sekurang-kurangnya beberapa orang dari luar universiti.
Selepas pertempuran itu, jabatan polis kampus UCLA berkata, ia telah menghantar lebih ramai pegawai ke tempat kejadian.
Dalam dua minggu lalu, protes pro-Palestin telah merebak ke kampus kolej utama di seluruh AS.
Demonstrasi itu dicetuskan oleh penahanan besar-besaran lebih 100 orang di Universiti Columbia lebih seminggu lalu.
Sejak itu, ratusan penunjuk perasaan dari California dan Texas ke Atlanta dan Boston telah ditangkap kerana mereka mencontohi perkhemahan yang digunakan oleh pelajar Columbia untuk menarik perhatian kepada krisis kemanusiaan di Gaza.