Protes di Peru ragut 53 nyawa
Bernama
Januari 21, 2023 11:30 MYT
Januari 21, 2023 11:30 MYT
LIMA: Protes di Peru yang sudah berlarutan selama enam minggu bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Dina Boluarte telah mengorbankan 53 nyawa setakat ini.
Presiden berkata: "protes itu tiada agenda sosial sebaliknya percubaan untuk melanggar kedaulatan undang-undang, mencetuskan huru-hara serta merampas kuasa," lapor Agensi Anadolu.
Penunjuk perasaan cuba merampas lapangan terbang di Cusco dan lapangan terbang di Juliaca turut diserang.
Kebakaran yang dicetuskan oleh penunjuk perasaan turut mengakibatkan bangunan bersejarah berdekatan dengan Plaza San Martin musnah.
Saksi kejadian mendakwa kebakaran sebenarnya berpunca daripada gas pemedih mata yang dilemparkan anggota polis namun kerajaan menafikan dakwaan itu.
Kerajaan telah mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah yang memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan bagi mengawal keadaan.
Pejabat Pendakwa Peru akan membuka kertas siasatan ke atas Boluarte susulan orang awam maut sejak protes bermula 7 Dis.
-- BERNAMA