Protes di Paris berterusan, memasuki pusingan ke-10
Astro Awani
Mac 29, 2023 09:30 MYT
Mac 29, 2023 09:30 MYT
PARIS: Polis Perancis terus bertempur dengan penunjuk perasaan di Paris dan bandar-bandar utama di negara itu pada Selasa sebagai membantah keputusan Presiden Emmanuel Macron meningkatkan umur persaraan.
Menurut pihak berkuasa, kawalan keselamatan terpaksa dipertingkatkan susulan tercetusnya tunjuk perasaan ke-10 sejak Januari itu selepas menerima amaran daripada penunjuk perasaan untuk bertindak lebih ganas.
Ia termasuk untuk memusnahkan, mencederakan dan membunuh.
Polis menganggarkan sejumlah 93,000 penunjuk perasaan di ibu negara berbanding 119,000 minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri menganggarkan jumlah penunjuk perasaan di seluruh negara lebih 740,000 orang.
Ia menurun sedikit berbanding lebih 1 juta orang lima hari lepas.
Tunjuk perasaan ini sebagai menyelar tindakan Macron yang menguat kuasakan rang undang-undang menaikkan umur persaraan Perancis dari 62 kepada 64 tahun melalui Parlimen tanpa undi.
Kesatuan sekerja yang menganjurkan protes menggesa mogok dan perarakan baharu pada 6 April.