Protes Dataran Tiananmen: Menteri Pertahanan China pertahan tragedi 1989

Agensi
Jun 3, 2019 10:42 MYT
Selepas tiga dekad Bantahan Dataran Tiananmen 1989 berlaku, kerajaan China tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu. - Gambar fail AP
ESOK (Selasa) genap 30 tahun ulang tahun protes besar-besaran yang berlaku di Dataran Tiananmen, China atau dikenali sebagai Bantahan Dataran Tiananmen 1989.
Insiden yang tercetus pada 1989 itu merupakan himpunan besar-besaran yang menyaksikan golongan pelajar dan pekerja memenuhi dataran tersebut dalam protes pro-demokrasi yang berakhir dengan tembakan oleh pihak berkuasa komunis.
Tragedi Bantahan Dataran Tiananmen 1989 menyaksikan ramai orang awam telah dibunuh, tidak kurang sebilangan daripada mereka yang cedera.
Sekalipun sudah tiga dekad insiden itu berlaku, namun sehingga kini masih meninggalkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat umum.
Ketika jumlah orang awam yang terbunuh dianggarkan mencecah angka ratusan atau mungkin ribuan, namun sehingga ini, kerajaan China tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar.
Sebetulnya, kenapa Bantahan Dataran Tiananmen 1989 itu boleh tercetus?
Dan benarkah kerajaan China tidak menguruskan krisis itu dengan betul?
Persoalan yang lama bersarang di fikiran masyarakat dijawab oleh Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei Fenghe yang merumuskan, Bantahan Dataran Tiananmen 1989 merupakan pergolakan politik, namun telah diuruskan dengan bijaksana oleh pemerintah.
Portal berita BBC melaporkan, Wei Fenghe berkata, kerana kebijaksaan pemerintah China menguruskan tragedi itu juga menyebabkan negara berkenaan menikmati perubahan.
“Insiden itu (Bantahan Dataran Tiananmen 1989) adalah pergolakan politik dan kerajaan pusat telah mengambil langkah untuk menghentikan pergolakan itu, yang merupakan polisi yang betul
“Sejak 30 tahun lalu telah membuktikan bahawa China telah melalui perubahan besar," katanya sambil menegaskan kerana tindakan kerajaan pada masa itu juga menyebabkan China menikmati kestabilan dan pembangunan.
Wei Fenghe berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta forum sempena Shangri-La Dialogue yang berlangsung di Singapura pada Ahad.
Portal itu turut melaporkan, Wei Fenghe sebelum itu telah menyampaikan ucapan yang mencakupi pelbagai aspek berhubung soal perdagangan dan keselamatan di forum berkenaan.
Reaksi Wei Fenghe itu menyusul selepas platform media sosial, Twitter yang memohon maaf selepas menyekat sejumlah akaun penggunanya yang memuat naik entri mengenai China menjelang ulang tahun ke-30 Bantahan Dataran Tiananmen 1989
Entri yang dimuat naik Twitter dalam akaun polisi umum mereka memberitahu, syarikat berkenaan sedang berusaha untuk mencegah mana-mana akaun pengguna yang mempunyai kecenderungan ke arah memanipulasi situasi termasuk melakukan spam atau apa-apa kegemaran menyebar berita palsu.
Pun begitu, sehingga kini tiada sebarang penganjuran secara rasmi untuk memperingati tragedi berdarah 1989 itu di Beijing.
Namun, itu tidak membawa maksud pemerintah cuba menjadi neutral, sebaliknya, ada yang melihat ketiadaan penganjuran seakan menjurus kepada tindakan 'melupakan' tragedi itu.
Menjelang 4 Jun iaitu tarikh kemuncak kejadian Bantahan Dataran Tiananmen 1989, beberapa algoritma automatik dan ribuan petugas khas akan memantau dan memadam apa sahaja rujukan yang merujuk pada insiden itu sama ada secara jelas atau samar di alam maya.
Mana-mana pihak yang lantang menyuarakan provokasi boleh menerima padahnya iaitu hukuman penjara seperti yang dijatuhkan ke atas sekumpulan lelaki yang berusaha memperingati ulang tahun Datan Tiananmen dengan sebuah jenama produk.
Mereka dikenakan hukuman penjara sehingga lebih 42 bulan.
Bantahan Dataran Tiananmen 1989 menyaksikan lebih sejuta peserta melakukan tunjuk perasaan yang disifatkan himpunan demonstrasi politik terbesar dalam sejarah kerajaan komunis China.
Aksi protes yang berlangsung selama enam minggu turut merebak sehingga ke beberapa kota serta universiti-universiti di seluruh negara itu
#Beijing #China #Jeneral Wei Fenghe #Protes Dataran Tiananmen #Protes Tiananmen #Tiananmen
;