Protes besar-besaran bermula di Nigeria akibat kesukaran ekonomi, krisis makanan
Bernama
Ogos 1, 2024 06:50 MYT
Ogos 1, 2024 06:50 MYT
LAGOS: Ribuan penunjuk perasaan berarak pada Khamis di bandar utama di Nigeria untuk menuntut "tindakan segera" terhadap kesukaran ekonomi, krisis makanan dan inflasi negara itu.
Agensi Anadolu melaporkan protes bermula awal di Lagos, hab komersial Nigeria, walaupun kerajaan mengambil langkah untuk menghentikan demonstrasi.
Kumpulan itu kebanyakannya belia dan aktivis hak asasi manusia, berarak ke pusat bandar dan kawasan perniagaan Ikeja, Ojota dan Ojodu, sambil melaungkan: "Kami lapar, jangan bunuh kami, cukup kelaparan dan kesusahan, dasar antimiskin, akhiri kesusahan sekarang!"
Di ibu negara Abuja, Adams Asmau, penyelaras gerakan Take Back Nigeria dan penganjur protes, berkata demonstrasi akan diteruskan secara aman walaupun kerajaan mengambil langkah untuk menghentikannya.
"Protes ini aman. Kami meminta kerajaan untuk menangani kelaparan, kos makanan yang tinggi, mewujudkan pekerjaan untuk belia," katanya kepada orang ramai.
Penunjuk perasaan menuntut pengurangan harga elektrik, petrol dan makanan selain memperkenalkan pendidikan percuma, tadbir urus yang baik, keadilan dan pembaharuan perlembagaan, menurut Anadolu.
Penunjuk perasaan tidak dapat berarak ke Eagles Square, arena kebangsaan berhampiran Sekretariat Persekutuan di ibu negara, kerana polis yang bersedia bertempur mengepung kemudahan itu.
Kerajaan telah memperoleh injunksi mahkamah di Lagos dan Abuja untuk menyekat penunjuk perasaan daripada berdemonstrasi di jalanan dan di dataran negara di Abuja, lapor agensi itu.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan mengingkari perintah itu dan berarak di jalan di bandar itu dan di Port-Harcourt dan Ibadan di selatan dan Kano, Bauchi dan Maiduguri di wilayah utara.
Ketua Polis Olukayode Egbetokun mengumumkan pada Selasa bahawa penunjuk perasaan akan mendapat perlindungan polis semasa melaksanakan hak sivik mereka tetapi memberi amaran terhadap keganasan.
"Kami mengiktiraf hak rakyat untuk membantah dan sebagai agensi keselamatan, kami akan melindungi hak itu tetapi hak ini hanya untuk protes aman," katanya selepas bertemu dengan ketua agensi keselamatan di Abuja.
Nigeria menghadapi cabaran ekonomi apabila kos makanan, bahan api, gas memasak, ubat-ubatan dan pengangkutan yang tinggi telah menaikkan kos sara hidup.
Pada Jun, inflasi meningkat kepada 34.29 peratus daripada 29.90 peratus yang direkodkan pada Januari, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan.
-- BERNAMA