Protes berlanjutan, PM Iraq nyatakan kesediaan dengar tuntutan rakyat
Agensi
Julai 18, 2018 10:17 MYT
Julai 18, 2018 10:17 MYT
Perdana Menteri Iraq, Haider Al-Abadi menggesa penunjuk perasaan untuk bekerjasama selepas demonstrasi berlanjutan selama seminggu.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mendengar tuntutan rakyat dan mengakui telah mengarahkan pasukan keselamatan memastikan hak mereka yang memprotes dihormati.
"Kami mendengar tuntutan rakyat di semua negeri.
"Kami mendengar semua tuntutan yang sah dan kami telah mengarahkan semua institusi tempatan dan kementerian berkaitan supaya memenuhi permintaan yang boleh dilaksanakan sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media Selasa, dalam usaha menangani protes rakyat yang tidak terkawal.
"Kami bezakan antara tuntutan yang sah, yang kami sedia dengar, dan tuntutan dibuat pihak lain yang bukan bertujuan untuk kebaikan Iraq sebaliknya hanya mahu mengambil kesempatan daripada keadaan tidak terurus ini, membakar rumah dan institusi awam, dan menyerang anggota polis dan keselamatan.
"Dan saya menyeru kepada semua penunjuk perasaan, mari kita bekerjasama. Saya sokong hak anda untuk memprotes dan saya mahu dengar tuntutan anda," katanya.
Kenyataan Haider itu dibuat sehari selepas pasukan keselamatan Iraq di Basrah menahan penunjuk perasaan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi.
Demonstrasi mega dianjurkan sebagai tanda protes kepada situasi ekonomi domestik yang disifatkan berada di paras bahaya.
Faktor penyumbang seperti tiada peluang pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan antara alasan mengapa rakyat Iraq bertindak sedemikian.
Mereka bertindak memecah masuk ke bangunan kerajaan dan membakar pejabat ahli politik.