Protes bahasa Hindi sebagai bahasa rasmi, lelaki maut bakar diri

Agensi
November 28, 2022 18:32 MYT
Tindakan nekad itu dilakukannya di pekarangan pejabat Parti DMK di bandar Salem, Tamil Nadu. - Gambar hiasan
NEW DELHI: Seorang lelaki warga emas di India maut setelah membakar dirinya sendiri sebagai tanda protes bahasa Hindi dijadikan bahasa kebangsaan negara itu.
AFP melaporkan, lelaki bernama MV Thangavel yang berusia 85 tahun itu adalah korban yang memilukan, hanya kerana isu bahasa.
Thangavel, yang merupakan seorang petani di wilayah Tamil Nadu iaitu di sebelah selatan India, dilaporkan telah menuang minyak tanah ke tubuh sebelum menyalakan api pada Sabtu lalu.
Tindakan nekad itu dilakukannya di pekarangan pejabat Parti DMK di bandar Salem, Tamil Nadu.
Dia juga memegang plakat yang tertera ayat dalam bahasa Tamil: "Narendra Modi (Perdana Menteri), tolong hentikan pemaksaan penggunaan bahasa Hindi. Mengapa kita perlu memilih bahasa Hindi berbanding bahasa Tamil kita yang kaya nilai kesusasteraan. Ini akan mempengaruhi masa depan golongan muda kita.”
Pihak polis mengesahkan kepada AFP bahawa Thangavel mati akibat perbuatan bunuh diri.
“Dia menulis sepanduk yang menentang dasar pemerintah pusat,” ujar seorang anggota polis yang hanya dirujuk dengan nama Senthil.
India memiliki ratusan bahasa dan dialek, dengan bahasa Hindi lebih ketara digunakan di bahagian utara negara itu, sementara bahasa Inggeris digunakan secara meluas khususnya dalam hal penyampaian maklumat dan komunikasi. Bagi pentadbiran wilayah, bahasa rasmi adalah mengikut bahasa wilayah masing-masing. Sejak sekian lama, isu bahasa boleh menjadi suatu yang sensitif dalam situasi tertentu.
Mengikut bancian pada tahun 2011, hanya 44 peratus warga India boleh berbahasa Hindi. Bagaimanapun, pada bulan lalu, sekumpulan ahli Parlimen pimpinan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, telah mencadangkan agar bahasa Hindi dijadikan bahasa rasmi negara, termasuk digunakan dalam bidang pendidikan perubatan dan kejuruteraan.
Sebelum ini, Modi yang bersifat nasionalis, pernah berkata bahawa penggunaan bahasa Inggeris menunjukkan mentaliti hamba, dan berusaha mengetengahkan penggunaan bahasa ibunda.
Namun, promosi dan usaha mengetengahkan bahasa Hindi mendapat tentangan, khususnya dari rakyat di bahagian selatan negara berkenaan.
#bahasa hindi #maut bakar diri #bahasa kebangsaan #India
;