Protes antirampasan kuasa Myanmar masuk bulan ketiga

Astro Awani
Mei 2, 2021 11:03 MYT
Tunjuk perasaan tidak menunjukkan sebarang petanda akan reda walaupun selepas persidangan tergempar pemimpin ASEAN minggu lalu. -AP
NAYPYITAW: Protes antirampasan kuasa masuk bulan ketiga di Myanmar.
Tunjuk perasaan itu tidak menunjukkan sebarang petanda akan reda walaupun selepas persidangan tergempar pemimpin ASEAN minggu lalu di mana kata sepakat dengan junta tentera berjaya dicapai.
Pihak aktivis Myanmar dilapor berkata seramai 759 orang awam terbunuh setakat ini akibat kekerasan selain ditembak junta tentera.
Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik yang lain ditahan oleh tentera Myanmar susulan dakwaan terdapat penipuan dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun lepas.
Jumlah mereka yang ditahan termasuk penunjuk perasaan mencecah 3,400 orang.
Kesan berganda akibat pandemik COVID-19 dan krisis politik rampasan kuasa tentera di Myanmar mengakibatkan hampir separuh atau 25 juta penduduk jatuh ke paras kemiskinan pada tahun 2022.
Kebimbangan ini didedahkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dalam laporan dikeluarkannya pada Jumaat.
Utusan khas PBB di Myanmar menyatakan kepada Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat bahawa tiada tindak balas kolektif antarabangsa terhadap rampasan kuasa itu dan keganasan menjadi semakin buruk.
Tindakan keras yang berterusan berisiko menjejaskan momentum untuk mengakhiri krisis berikutan pertemuan 10 anggota ASEAN pada 25 April dengan pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar menyatakan Nin Aung Hlaing telah menggunakan sidang kemuncak itu sebagai "tipu daya propaganda".
Majlis Keselamatan PBB mengulangi kebimbangan mendalam terhadap keadaan dan sokongannya dengan peralihan demokratik Myanmar.
#protes #antirampasan kuasa #Junta #Myanmar #ASEAN #Penunjuk perasaan #orang awam terbunuh #tentera #UNDP
;