Protes antipendatang merebak ke barat daya England
Astro Awani
Ogos 6, 2024 08:15 MYT
Ogos 6, 2024 08:15 MYT
LONDON: Protes antipendatang dilaporkan merebak ke Plymouth di barat daya England pada Isnin.
Ratusan penunjuk perasaan antipendatang yang memakai bendera Britain dalam rusuhan cuba dileraikan oleh pihak polis.
Penunjuk perasaan membaling batu bata dan bunga api selain bergelut dengan polis, manakala tiga pegawai polis dilaporkan cedera.
Dalam pada itu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan penunjuk perasaan ganas yang menyasarkan masyarakat Islam akan segera menghadapi tindakan undang-undang.
Kenyataan itu dinyatakan Starmer dalam usaha untuk memadamkan api rusuhan antiimigran.
Kes tikaman maut ke atas tiga gadis muda di bandar Southport di barat laut Inggeris minggu lalu telah dieksploitasi oleh kumpulan antipendatang dan anti-Muslim.
Ia dibuat melalui penyebaran maklumat yang salah dalam talian dan diperkuatkan oleh tokoh sayap kanan berprofil tinggi untuk mencetuskan kekacauan di bandar-bandar.
Starmer berkata, ia bukan protes tetapi adalah keganasan tulen dan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas masjid atau komuniti Islam.
Ketua polis berkata, mereka telah menahan 378 orang sejak permulaan pergolakan dan memberi amaran tentang "hukuman penjara yang panjang" bagi mereka yang didapati bersalah melakukan keganasan.
Keganasan tercetus Selasa lalu selepas catatan media sosial mengatakan penyerang yang disyaki di Southport adalah seorang Islam radikal yang baru tiba di Britain.
Polis berkata, suspek berusia 17 tahun itu dilahirkan di Britain dan mereka tidak menganggapnya sebagai insiden pengganas.
Ibu bapa suspek telah berpindah ke Britain dari Rwanda.
Protes berterusan di seluruh negara dengan kedai dirompak dan masjid serta perniagaan milik Asia diserang.
Australia dan Nigeria adalah antara negara yang mengeluarkan amaran kepada warganegara yang bermastautin atau melancong ke Britain.
Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, demonstrasi di beberapa kawasan di United Kingdom (UK) semakin membimbangkan dan ada yang berubah kepada keganasan.
Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke UK supaya menjauhi kawasan protes serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, bagi memudahkan urusan berkaitan keselamatan.