Prosiding jenayah ke atas Yevgeny Prigozhin digugurkan
Bernama
Jun 27, 2023 22:16 MYT
Jun 27, 2023 22:16 MYT
MOSCOW: Pendakwa raya Rusia menggugurkan prosiding jenayah terhadap ketua kumpulan separa tentera Wagner, Yevgeny Prigozhin, berhubung kemaraan tenteranya ke Moscow, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media kerajaan.
Memandangkan berakhirnya "tindakan jenayah," kes yang dimulakan pada Jumaat atas arahan Kremlin, telah dihentikan, lapor Agensi Berita Rusia TASS pada Selasa memetik perkhidmatan perisikan domestik FSB negara itu.
Menurut Presiden Vladimir Putin, juruterbang yang menyerang pasukan Wagner ketika menghampiri Moscow, terbunuh dalam kejadian pada Sabtu. Beberapa helikopter dan sebuah pesawat ditembak jatuh.
Prigozhin membatalkan pemberontakan seharinya pada Sabtu selepas rundingan diusahakan oleh pemimpin Belarus Alexander Lukashenko.
Prigozhin mengambil keputusan untuk berpatah balik ketika berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow untuk mengelak pertumpahan darah.
Wagner yang telah menduduki bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia, di tengah-tengah peningkatan perebutan kuasa yang berlarutan lama antara ketua Wagner dan kepimpinan tentera di Moscow.
Putin pada Isnin mengesahkan bekas orang kepercayaannya Prigozhin, boleh mencari perlindungan di Belarus bersama pejuangnya. Kini belum jelas sama ada Prigozhin sudah berada di Belarus.
Pemimpin Rusia itu menawarkan peluang kepada tentera Wagne untuk memuktamadkan kontrak dengan Kementerian Pertahanan Rusia.
Bagaimanapun, dalang pemberontakan itu bakal berdepan "hukuman yang tidak dapat dielakkan", kata Putin.
Tindakan Kremlin yang kemudiannya mengisytiharkan pemberontak tidak akan dikenakan dilihat sebagai kelemahan di pihak kepimpinan.
-- BERNAMA