Proses pindah mayat mangsa ke Eindhoven dijangka selesai esok
Agensi
Julai 25, 2014 15:08 MYT
Julai 25, 2014 15:08 MYT
Proses pemindahan mayat mangsa nahas MH17 dari Kharkiv ke Belanda dijangka selesai pada Sabtu, kata Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan masih ada mayat mangsa yang belum dijumpai di lokasi kejadian.
"Kebarangkaliannya besar, mungkin masih ada mangsa di tempat nahas," katanya seperti dipetik oleh CNN.com.
Sehingga Jumaat, empat penerbangan telah dilakukan bagi memindahkan keseluruhan 114 keranda -- 40 pada Rabu, 74 pada Khamis. Semua keranda itu disambut di Pangkalan Tentera Udara di Eindhoven dalam upacara penuh adat istiadat.
Belanda pada Rabu mengisytiharkan tempoh berkabung sehari bagi menghormati proses pemindahan itu. Daripada 298 mangsa yang terkorban, 193 adalah warga Belanda.
Dalam sidang media pada Khamis, Rutte memberitahu biarpun ada 203 beg mayat yang dipindahkan dari lokasi nahas dengan keretapi ke Kharkiv, "ia tidak menunjukkan kepada kita apakah itu jumlah sebenar mangsa yang telah dikumpulkan".
Pemantau daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasaman Eropah (OSCE) serta pakar dari Malaysia mahu meneruskan kerja-kerja menyelongkar kawasan nahas yang merentas sekurang-kurangnya 15 kilometer persegi bagi mencari mayat mangsa yang mungkin masih ada.
Pihak berkuasa Ukraine sementara itu memaklumkan kumpulan pemberontak pemisah Republik Rakyat Donetsk menyekat akses ke kawasan berkenaan selepas keretapi yang membawa mayat mangsa berlepas ke Kharkiv.
Pada hari yang sama, pertempuran meletus antara tentera pemisah dengan tentera Ukraine di kawasan berdekatan dengan tempat nahas.
Pesawat penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. Ukraine menuduh pesawat itu ditembak oleh tentera pemisah yang didukung oleh Rusia. Puak pemberontak itu bagaimanapun menafikan tuduhan, sebaliknya mendakwa Ukraine bertanggungjawab.