Proses pemberian vaksin COVID-19 di AS berdepan kesukaran

Astro Awani
Disember 31, 2020 07:32 MYT
DR FAUCI: Kami akan bantu anda melakukan tugas, terutamanya dengan memberikan anda lebih banyak sumber. -Gambar fail
WASHINGTON: Proses pemberian vaksin COVID-19 kepada jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) bermula dengan lambat dan tidak kemas sebagaimana diharapkan pegawai kesihatan awam dan pegawai dalam Operation Warp Speed Trump.
Beban kerja yang tinggi dan kekurangan dana di jabatan kesihatan awam negeri antara kesukaran dihadapi dalam proses itu.
Daerah dan hospital mengambil pendekatan yang berbeza sehingga menyebabkan penerima beratur panjang, keliru dan kecewa selain saluran komunikasi yang sesak.
Masalah logistik pula menyulitkan proses untuk menewaskan virus yang membunuh lebih 340,000 rakyat AS.
Bercakap di The Today Show pada Khamis, pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci berkata kerajaan persekutuan perlu memberi lebih banyak sumber kepada kerajaan negeri dan daerah untuk kelancaran proses pemberian vaksin.
"Saya rasa mungkin lebih baik beri lebih banyak sumber dan bekerjasama dengan mereka berbanding ambil alih.
"Dalam erti kata lain, saya tidak kata kami akan ambil alih. Kami akan bantu anda melakukan tugas, terutamanya dengan memberikan anda lebih banyak sumber," kata Dr Fauci.
Kelewatan dalam melaporkan jumlah telah divaksin menjelaskan mengapa banyak negeri gagal memenuhi objektif akhir tahun mereka dengan pegawai menyalahkan halangan logistik dan kewangan.
Banyak negeri kekurangan wang untuk menggaji kakitangan membayar lebih masa atau menghubungi orang awam.
Peralatan yang diperlukan bagi memastikan vaksin sejuk juga menyukarkan pengedarannya.
Ini ditambah dengan penyedia vaksin perlu mengira dengan tepat jumlah vaksin bagi memastikan dos kedua yang diperlukan selepas 21 hari mencukupi.
#Anthony Fauci #COVID-19 #Amerika Syarikat #penyakit berjangkit #vaksin #Operation Warp Speed
;