Proses kira undi pilihan raya Pakistan bermula

Astro Awani
Mei 12, 2013 08:26 MYT
Proses pengiraan undi pilihan raya Pakistan bermula selepas rakyat negara itu keluar mengundi pada Sabtu.
Keputusan dijangka hanya diketahui sekurang-kurangnya minggu depan.
Menurut pegawai pilihan raya negara berkenaan jumlah keluar mengundi mencatatkan antara yang tertinggi sejak 1977.
“Pengiraan undi bermula di hadapan agen pilihanraya. Apa yang paling penting saya ingin sebutkan, saya tidak pernah melihat jumlah keluar mengundi sebegini sejak tahun 1977, ketika saya memulakan tugas dalam pilihan raya,” kata pegawai tersebut.
Sementara itu Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) berpuas hati dengan proses pengundian.
Pilihan raya bersejarah Pakistan bermula pada Sabtu dengan lebih 86 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggung jawab masing-masing.
Kerajaan awam menamatkan penggal pentadbiran selama lima tahun dan pilihan raya kali ini adalah simbol peralihan kuasa secara demokrasi.
Beberapa kerajaan sebelum ini dijatuhkan melalui rampasan kuasa tentera.
Lebih 600,000 anggota polis dan tentera dikerah menjaga pusat pengundian selepas Taliban mengancam untuk melancarkan serangan berani mati.
Beberapa jam selepas pusat pengundian dibuka Pakistan bertindak menutup sempadannya dengan Iran dan Afghanistan dalam usaha mengekang militan asing.
Pusat pengundian dibuka jam lapan pagi waktu tempatan dan ditutup jam lima petang.
Antara parti yang bertanding ialah Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Presiden Asif Ali Zardari, Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) diketuai bekas perdana menteri Nawaz Sharif dan parti Tehrik-E-Insaf Pakistan (PTI) pimpinan legenda kriket, Imran Khan.
Pilihan raya kali ini juga menyaksikan golongan muda berumur 30 tahun ke bawah dilihat sebagai undi penentu.
#Pakistan #pengiraan #pilihan raya #Proses #undi
;