Proses damai Selatan Thai masih berjalan - Mara Patani

Bernama
Mei 21, 2016 09:05 MYT
ABU HAFEZ: Proses damai cuma tertangguh sementara kita mendapat jawapan daripada kerajaan Thai.
Proses damai selatan Thai masih berjalan tetapi tertangguh sementara waktu berikutan keengganan Bangkok menerima terma rujukan (TOR) untuk membawa rundingan itu ke peringkat rasmi, kata Majlis Syura Patani (MARA Patani).
Perunding merangkap jurucakapnya Dr Abu Hafez Al-Hakim berkata, kedua-dua pihak masih komited terhadap proses damai diselia oleh Malaysia dan tidak ada pihak menarik diri setakat ini.
"Sekarang ini kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thai berhubung dengan TOR, tidak ada pihak yang menarik diri secara rasmi daripada proses damai."
"Jadi proses damai cuma tertangguh sementara kita mendapat jawapan mereka (kerajaan Thai berkenaan isu TOR)," katanya kepada Bernama.
Dalam pertemuan terbaru di Kuala Lumpur akhir bulan lepas, delegasi kerajaan Thai yang dipimpin oleh ketua panel perunding selatan Thai, Jen Aksara Kerdphol enggan menerima TOR itu dengan alasan ia belum mendapat kelulusan Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha.
Dalam kenyataan sejurus selepas berakhirnya pertemuan itu, MARA Patani yang merupakan badan gabungan beberapa kumpulan militan selatan Thai berkata, kedua-dua pihak mula berbincang tentang TOR sejak Oktober tahun lepas.
MARA Patani telah meluluskan perincian TOR itu bulan lepas.
Dalam temuramah dengan Bernama di sini awal bulan ini, Jen Aksara memberikan komitmen berterusan Bangkok untuk berunding dengan kumpulan militan selatan Thai dalam mencari perdamaian di wilayah bergolak itu.
Proses damai di selatan Thai katanya, merupakan satu-satunya opsyen bagi menangani konflik di wilayah itu.
"Setiap kali bila saya balik dari rundingan damai, saya melaporkan kepada Perdana Menteri (Gen Prayuth Chan-o-cha), yang memberitahu saya bahawa rundingan (damai) mesti diteruskan tetapi ia mengambil masa."
"Jika kita tidak teruskan rundingan (dengan militan), apa lagi penyelesaian damai bagi masalah (di selatan Thai) itu?" katanya.
Dalam temuramah itu, Abu Hafez menjelaskan, TOR adalah penting kerana merupakan tatacara dan peraturan untuk berunding, tetapi pihaknya akan memberikan peluang kepada Bangkok untuk menelitinya dengan lebih mendalam.
"Kita beri peluang untuk mereka meneliti lagi (TOR) dan maklumkan bahagian mana yang masih perlu diperbaiki untuk dibawa berbincang," katanya.
Mengenai isu ketiadaan pengiktirafan rasmi dari Bangkok terhadap MARA Patani sehingga kini sebagai rakan proses damai mereka di selatan Thai, beliau berkata, soal itu tidak berbangkit.
Persoalan tentang pengiktirafan terhadap kumpulan itu menurut beliau, terkandung dalam TOR.
"Kalau TOR lulus, ertinya secara automatik kita (Mara Patani) mendapat pengiktirafan. Saya rasa mungkin itu yang membuat mereka (Bangkok) masih teragak-agak untuk mengesahkan (TOR)," katanya.
Sepanjang berlangsung proses damai itu, pihak kerajaan Thai hanya menamakan MARA Patani sebagai "Pihak B".
#Majlis Syura Patani #Mara Patani #rundingan damai selatan Thailand #selatan thailand