Proses damai Asia Barat: AS sedia berunding; Abbas gesa sidang antarabangsa

Astro Awani
Februari 20, 2018 06:48 MYT
Presiden Mahmoud Abbas mengesa PBB mengadakan sidang antarabangsa bagi menyelesaikan isu Palestin. - Gambar fail
Palestin pada Selasa menggesa agar satu sidang kemuncak antarabangsa diadakan menjelang pertengahan tahun ini bagi membuka jalan kepada pengiktirafan negara itu.
Persidangan yang dicadangkan itu perlu membawa kepada keanggotaan penuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Palestin, pengiktirafan Israel dan Palestin, serta pembentukan mekanisme baru untuk mencapai perjanjian akhir, kata Presiden Mahmoud Abbas.
"Kami tidak pernah menolak sebarang jemputan untuk berunding. Tolong jangan kata kami menolak rundingan.
"Kami percaya rundingan adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan. Jadi, bagaimana kami boleh menolak rundingan? Percayalah, ini tidak benar," katanya ketika berucap di Majlis Keselamatan PBB.
"Kami sedia memulakan perundingan dengan serta-merta bagi mencapai kebebasan dan kemerdekaan rakyat kami, sama seperti semua bangsa lain, dan bagi memastikan keamanan dan keselamatan untuk semua di rantau ini dan di dunia, supaya generasi akan datang dapat menikmati manfaat dari keamanan ini."
Bagaimanapun, Abbas menyampaikan ucapannya sebelum Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB Nikki Haley berucap, dan meninggalkan majlis sejurus selepas itu.
Abbas sebelum ini menolak proses damai Asia Barat yang diterajui AS, menyifatkannya 'mustahil', susulan pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel yang dibuat Disember lalu.
Keputusan AS itu mencetuskan kemarahan Palestin yang mengisytiharkan Washington tidak lagi berperanan sebagai orang tengah utama dalam proses damai itu.
Sementara itu, Haley menegaskan, negaranya tidak akan mengubah keputusan untuk memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis.
"AS sedar kepimpinan Palestin sangat tidak senang dengan keputusan memindahkan kedutaan kami ke Jerusalem.
"Anda tidak perlu suka dengan keputusan itu. Anda tidak perlu memujinya. Malah, anda tidak perlu menerimanya. Tetapi, ketahuilah, keputusan itu tidak akan berubah," katanya.
“AS sedia untuk bekerjasama dengan kepimpinan Palestin. Para perunding kami ada di sini, sedia untuk berbincang. Tetapi, kami tidak akan mengejar anda. Pilihan di tangan anda (Abbas),” tambah Haley.
Beliau merujuk kepada menantu Trump yang juga penasihatnya, Jared Kushner, dan pembantu kanan Trump, Jason Greenblatt, yang turut hadir dalam majlis itu.
#AS #Asia Barat #Donald Trump #Israel #Mahmoud Abbas #Palestine #PBB
;