Propaganda Daish mula mereda, namun kekal berbahaya

Ahmad Khairol Shafizan Johari
April 2, 2017 07:00 MYT
Pusat Kajian Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Politik (ICSR) yang beribu pejabat di London memberi amaran bahawa kemerosotan ini bukan bererti gerakan radikal itu semakin memperlahankan serangan. - Foto: Reuters
Data yang diperoleh media propaganda rasmi Daish menunjukkan bahawa kempen propaganda gerakan militan itu sudah semakin perlahan.
Bagaimanapun, Pusat Kajian Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Politik (ICSR) yang beribu pejabat di London memberi amaran bahawa kemerosotan ini bukan bererti gerakan radikal itu semakin memperlahankan serangan yang kini lebih berbentuk ‘tidak rumit’ tetapi memberikan impak besar di Eropah dan lokasi lain, seperti mana yang terjadi dalam serangan di Westminster.
Kajian berkenaan dibuat berdasarkan analisis media propaganda rasmi Daish sepanjang sebulan pada bulan Februari lalu.
Tempoh itu menyaksikan Daish turut mengubah naratif propaganda yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kehidupan utopia atau sempurna di kawasan yang ditawan mereka kepada naratif yang berbentuk peperangan.
“Ia membolehkan Daish terus menakut-nakutkan musuhnya dan mengangkat semangat para penyokong. Naratif berbentuk keganasan ini bersifat defensif (mengenai apa yang terjadi) di Iraq dan Syria dan ia cuba memberikan keyakinan (kepada penyokong)”.
“Bagaimanapun, apa yang boleh dipelajari daripada serangan di Westminter, walaupun Daish mengalami kemerosotan, tetapi ia masih mampu mendorong perlakuan ganas di luar wilayah mereka”.
#daish #data driven #ICSR #keganasan #Pusat Kajian Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Politik
;