Projek ubah suai rumah PM UK disiasat

Astro Awani
April 29, 2021 04:52 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya UK melancarkan siasatan selepas mengesyaki berlaku kesalahan berhubung projek tersebut. - Foto REUTERS
LONDON: Siasatan rasmi dilancarkan terhadap pembiayaan untuk projek pengubahsuaian rumah Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson di Eleven Downing Street, London.
Spekulasi mengatakan 200,000 pound (RM1.14 juta) dibelanjakan Boris, walaupun geran yang diperuntukkan secara rasmi hanya 30,000 pound (RM171,000).
Suruhanjaya Pilihan Raya UK melancarkan siasatan selepas mengesyaki berlaku kesalahan berhubung projek tersebut.
Bekas ketua penasihat kepada Boris, Dominic Cummings mendakwa, perdana menteri itu pernah merancang untuk mendapatkan beberapa penyumbang dana Parti Konservatif untuk membiayai projek berkenaan.
Ahli Parlimen UK lazimnya perlu mengisytiharkan sebarang sumbangan atau pinjaman wang berhubung tugas mereka dalam tempoh 28 hari selepas diterima.
Suruhanjaya Pilihan Raya kini menyiasat sama ada transaksi wang berhubung kerja pengubahsuaian di Eleven Downing Street wajib dilaporkan, dan jika didapati wajib, mereka turut menyiasat sama ada pembiayaan projek itu diisytiharkan atau tidak.
#Boris Johnson #Siasat #Downing Street #United Kingdom
;