Projek ubah suai rumah Perdana Menteri UK disiasat
Agensi
April 29, 2021 17:12 MYT
April 29, 2021 17:12 MYT
SIASATAN rasmi dilancarkan terhadap pembiayaan untuk projek pengubahsuaian rumah Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson di Downing Street, London.
Memetik laporan BBC, banyak spekulasi yang mengatakan £200,000 (RM1.14 juta) dibelanjakan untuk mengubah suai flat yang dihuni Boris bersama isterinya atas 11 Downing Street.
Bagaimanapun, geran yang diperuntukkan untuk perbelanjaan Boris bagi rumahnya hanya £30,000 (RM171,000).
Suruhanjaya Pilihan Raya UK yang memantau pembiayaan politik melancarkan siasatan selepas mengesyaki berlaku kesalahan berhubung projek pengubahsuaian tersebut.
Bekas ketua penasihat kepada Boris, Dominic Cummings mendakwa, Perdana Menteri itu pernah merancang untuk mendapatkan beberapa penyumbang dana politik Parti Konservatif untuk membiayai projek berkenaan.
Dominic turut menggambarkan projek tersebut sebagai “tidak beretika, mungkin salah dari segi undang-undang dan melanggar peraturan untuk mendedahkan secara rasmi sumbangan politik.”
Ahli Parlimen UK lazimnya perlu mengisytiharkan sebarang sumbangan atau pinjaman yang dibuat berhubung tugas mereka dalam tempoh 28 hari selepas penerimaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya kini menyiasat sama ada transaksi wang berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di flat 11 Downing Street wajib dilaporkan dan jika didapati wajib, mereka turut menyiasat sama ada pembiayaan projek itu diisytiharkan atau tidak.
Sebelum ini, Tony Blair menjadi Perdana Menteri pertama menghuni flat 11 Downing Street yang lebih besar berbanding flat atas 10 Downing Street, rumah asal yang ditetapkan untuk dihuni oleh Perdana Menteri negara itu.
Kemudian, flat tersebut diubah suai oleh bekas Perdana Menteri David Cameron dan isterinya Samantha pada 2011 dengan kos £30,000 (RM171,000).
#Boris Johnson
#ubah suai
#renovate
#flat
#Downing Street
#Dominic Cummings
#David Cameron
#tony blair
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#dana politik