Projek perumahan hijau di China 'makan tuan', tak terjaga hingga jadi hutan mengerikan
Agensi
September 15, 2020 15:45 MYT
September 15, 2020 15:45 MYT
Kejiranan pangsapuri yang dikelilingi kehijauan di tengah-tengah kesibukan kota besar pastinya memberi nilai 'wow' pada penghuni unit kediaman, mahupun mereka yang memandang dari jauh.
Namun bagaimana pula sekiranya apartmen itu menjadi sebuah rimba vertikal? Gara-gara terbiar lama, ia 'ditelan' tumbuh-tumbuhan yang subur dan liar sekali gus hampir sebahagian besar struktur bangunan tersebut terlindung?
Menurut akhbar tempatan, Global Times, meskipun kesemua 826 unit di apartmen Qiyi City Forest Garden di bandar raya Chengdu, China itu terjual April lalu namun setakat ini, bangunan itu hanya dihuni kira-kira 10 keluarga.
Menurut seorang ejen hartanah, sekali imbas, apartmen yang itu sama seperti set penggambaran filem berkonsepkan pasca malapetaka atau post-apocalyptic.
Masalahnya, ‘kesuburan’ pokok-pokok itu juga digemari sejenis spesies lain yang dibenci manusia.... iaitu nyamuk!
Itu menjadi antara alasan apartmen itu akhirnya hanya menjadi pilihan beberapa penduduk sahaja.
Menurut laporan media lain, projek perumahan yang dibangunkan pada tahun 2018 itu mempunyai rekaan khas di balkoni bagi memberi ruang ideal bagi pencinta ruang luar, dan bagi tumbesaran pokok-pokok berkenaan.
Namun, disebabkan tiada yang menjaga bangunan itu, lapan daripada menara itu menjadi kawasan belukar tebal yang menjadi ‘syurga’ buat nyamuk dan serangga lain.
Namun demikian, ada beberapa penduduk mengambil inistiatif sendiri untuk memangkas dan memotong tumbuhan liar itu serta menyalakan lampu.