Projek kereta kabel Bukit Bendera akan diteruskan - Chow Kon Yeow
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 11, 2021 18:45 MYT
Januari 11, 2021 18:45 MYT
GEORGE TOWN: Projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM150 juta akan diteruskan, meskipun peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan pusat telah dibatalkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan meneruskan projek tersebut melalui konsep kerjasama dengan pihak swasta.
Sehubungan itu, katanya PBBPP telah membuka Permintaan Untuk Cadangan (RFP) kepada syarikat berdaftar yang layak dan mempunyai kepakaran untuk mengambil bahagian bermula Rabu ini.
“Projek kereta kabel ini dijangka akan mengambil masa selama tiga hingga empat tahun untuk disiapkan dan beroperasi sepenuhnya.
“Justeru, kerajaan negeri dan Perbadanan Bukit Bendera ingin mengalukan penyertaan syarikat berdaftar layak dan mempunyai kepakaran untuk mengambil bahagian RFP ini mulai 13 Januari ini iaitu setelah pengumuman ini dokumen boleh diperoleh mulai 13 Januari dan tarikh tutup kemukakan cadangan pada 24 Mei ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town pada Isnin.
Jelas Kon Yeow, projek itu juga akan melalui perancangan dan pembangunan yang teliti selaras dengan permohonan PBBPP mengiktiraf Bukit Bendera sebagai rizab biosfera UNESCO di bawah program 'Man and The Biosphere'.
“Projek ini bukan projek persediaan tetapi perbincangan yang perlu dilakukan secara kolektif.
“Komitmen jelas buktikan pendekatan kerajaan negeri sejajar Penang 2030,” ujarnya.
Jelasnya, selain kereta api furnikular sedia ada, kereta kabel itu mampu menjadi mod pengangkutan tambahan terutama pada waktu puncak.
Namun kos tersebut hanya jangkaan sahaja kerana ianya bergantung kepada metodologi pembinaan, jajaran serta lokasi stesen bawah kereta kabel.
Kajian prakebolehlaksanaan projek kereta kabel dan penilaian menyeluruh telah dijalankan.
Ia termasuk impak alam semula jadi, model kewangan, potensi dan pemilihan penyelarasan.
#kereta kabel Bukit Bendera
#Chow Kon Yeow
#Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang
#PBBPP
#Ketua Menteri Pulau Pinang
#Unesco