Projek 'Designing Future Vision' bawa mesej kesederhanaan Islam di Tanah Suci

Zikry Halim
Oktober 9, 2023 08:00 MYT
Al-Sudais turut menekankan kesediaan Presidensi untuk mengambil inisiatif yang bertujuan memberi bimbingan berkualiti, termasuk melalui program keagamaan yang sederhana. - Gambar fail
BERTEPATAN dengan perubahan yang dituntut dalam Islam, Arab Saudi pada Ahad melancarkan projek "Designing Future Vision” yang bertujuan memuliakan tanah suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dalam menyebarkan mesej kesederhanaan.
Ia diumumkan Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais di Makkah, dalam misinya mencapai kepemimpinan presidensi yang cemerlang melalui program berunsur keagamaan.
Menurut laporan Saudi Press Agency (SPA), projek itu juga menggalakkan nilai toleransi dan kesederhanaan serta menyebarkan tingkah laku yang baik, menjana idea-idea inovatif dan memupuk akidah Islam sambil menolak ekstremisme sekeras-kerasnya.
Al-Sudais menggariskan asas utama dalam visi masa depan strategik ini yang merangkumi penjanaan idea-idea keagamaan yang inovatif, memupuk budaya kerja berpasukan bersepadu, mengukuhkan rasa hormat terhadap Masjidil Haram, mendidik kakitangan dan meningkatkan inisiatif serta rasa kebertanggungjawaban mereka.
Pelan masa hadapan Arab Saudi ini jelas bakal memberi pengalaman kerohanian yang berbeza buat semua pengunjung ke dua masjid suci itu melalui pelbagai inisiatif.
Ia termasuk mempelbagai program keagamaan yang ditawarkan di dua masjid suci itu, merangkumi galakan terhadap nilai teladan, penghormatan, pemupukan akhlak dan penggabungan kreativiti dan kepakaran dalam amalan keagamaan.
Al-Sudais turut menekankan kesediaan untuk mengambil inisiatif bertujuan memberi bimbingan yang berkualiti, termasuk melalui program keagamaan yang sederhana, kempen kesedaran di lapangan, perkhidmatan kaunseling, begitu juga pengurusan imam dan muazin, serta lain-lain agensi agama.
Pada akhirnya, langkah-langkah yang diambil ini dijangka memberi kesan dari segi peningkatan prestasi dan kerja para pekerja, memastikan perkhidmatan yang lebih baik untuk pengunjung dua tanah suci.
Al-Sudais juga menegaskan, Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi komited memberi perkhidmatan kepada semua yang berpeluang menziarah dua tanah suci itu dan sedia melabur dalam aplikasi, teknologi dan kecerdasan buatan keagamaan bagi memudahkan bimbingan dan panduan kepada jemaah haji, umrah dan pelawat.
Ia katanya, bakal mewujudkan persekitaran keagamaan yang sesuai dan suci dalam mempamerkan mesej toleransi, kasih sayang, kemanusiaan dan kesederhanaan dalam menjalankan tugasnya menjaga dua tanah suci umat Islam itu.
#Arab Saudi #Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais #projek Designing Future Vision #Masjidil Haram
;