Program tukar sampah dengan syiling emas

Bernama
Oktober 3, 2019 15:52 MYT
Tawaran syiling emas sebagai pertukaran untuk sampah sarap bagi memastikan kepulauan Raja Ampat yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Indonesia itu, kekal bersih. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Kabupaten Raja Ampat, menawarkan syiling emas sebagai pertukaran untuk sampah sarap bagi memastikan kepulauan yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Indonesia itu, kekal bersih.
Memetik laporan agensi berita Antara, bersempena Festival Bahari (Maritime Commemoration) pada 19 hingga 22 Oktober ini, penduduk atau pelancong boleh menukar sampah plastik seberat 15 kilogram dengan 1 gram syiling emas.
Menurut Pengurus Lembaga Pelancong Raja Ampat, Ranny Iriani Tumundo, program pertukaran sampah dengan syiling emas itu akan diadakan di Pantai Raja Ampat bagi mendidik masyarakat setempat dan pelancong kepentingan memulihara alam sekitar.
Kepulauan Raja Ampat, yang terletak di bahagian barat Provinsi Papua Barat, terkenal dalam kalangan penyelam kerana keindahan batu karang, panorama kepulauan yang memukau, dan kini diiktiraf sebagai "syurga laut" tercantik di dunia.
Kepulauan Raja Ampat terdiri daripada empat pulau utama iaitu Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati dan Pulau Batanta. - BERNAMA
#Indonesia #Papua Barat #Raja Ampat #sampah #syiling emas
;