Program Makanan Sedunia PBB tidak dapat gantikan UNRWA di Gaza
Bernama
November 2, 2024 18:23 MYT
November 2, 2024 18:23 MYT
GAZA: Program Makanan Sedunia (WFP) tidak dapat menggantikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Semenanjung Gaza, kata ketua pejabat WFP Berlin kepada media, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami tidak dapat menggantikan fungsi penting UNRWA di Gaza, seperti pengurusan tempat perlindungan kecemasan, sekolah dan pusat kesihatan," kata Martin Frick kepada kumpulan media Jerman, Redaktionsnetzwerk Deutschland (RND), dalam ulasan yang disiarkan pada Sabtu.
Awal minggu ini, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mengehadkan operasi agensi itu di Semenanjung Gaza.
Frick berkata bahawa UNRWA adalah tulang belakang bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan memastikan "pemakanan, perlindungan dan rawatan perubatan bagi populasi yang mengalami kezaliman".
Israel mendakwa bahawa sebaik larangan terhadap UNRWA berkuat kuasa dalam masa kira-kira tiga bulan, ia akan memastikan bantuan kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza dengan bantuan organisasi lain.
-- BERNAMA